
Usaha itu membantu seramai dua puluh orang murid sekolah rendah daripada komuniti yang kurang mendapat akses pendidikan bagi membina semula minat mereka dengan pendidikan.
Menurut bekas guru Hamidi Mookkaiyah Abdullah, yang mengasaskan Yayasan dalam Projek Literasi itu, kemahiran hidup asas diajar dalam bahasa Inggeris bagi membantu mereka meningkatkan kemahiran bahasa.
“Ia penting untuk memotivasikan para murid terlebih dahulu dan bila mereka mempunyai keyakinan diri, ia akan menjadi suatu peralihan yang lebih mudah bagi mereka untuk memberi tumpuan kepada pelajaran akademik,” katanya kepada FMT.
“Kita juga menyediakan platform untuk kanak-kanak ini bersukan seperti hoki. Mereka juga mendapat sarapan pagi dan makan tengah hari percuma,” katanya.
Program itu bermula hujung minggu lalu dan akan berlangsung selama sembilan minggu, katanya.

Hamidi, 63, berkata dia terkejut melihat bagaimana pandemik telah menjejaskan ramai mata pencarian, terutama mereka dalam kumpulan B40 (berpendapatan rendah).
Beliau kemudian terpanggil untuk mengumpul dana dari kalangan rakan-rakannya sebanyak RM20 setiap seorang bagi membantu keluarga yang terkesan.
“Apa yang mengejutkan saya, dalam tempoh 10 hari saya berjaya mengumpul RM9,000 daripada guru, bekas pelajar, rakan dan keluarga,” katanya.
“Saya hanya mengenali beberapa keluarga yang memerlukan bantuan tetapi dengan wang tambahan itu, banyak lagi yang boleh dibuat untuk membantu golongan ini,” katanya, selepas mengagihkan 80 bakul makanan kepada golongan yang memerlukan itu.
Bagaimanapun, Hamidi sedar pemberian bakul makanan hanyalah penyelesaian sementara dan mencipta alternatif lain untuk membantu kanak-kanak B40 itu.
“Satu-satunya cara untuk mereka keluar daripada kitaran kemiskinan itu adalah melalui pendidikan untuk anak-anak mereka,” katanya kepada FMT. Dia mahu menggunakan kemahirannya untuk mencipta platform bagi memotivasikan kanak-kanak dan membina keyakinan diri selepas dua tahun tidak mendapat akses pendidikan akibat pandemik.

Hamidi kemudian mengumpulkan seramai 16 orang pesara guru sebagai sukarelawan dan memulakan apa yang telah menjadi Yayasan dalam Projek Literasi.
Seramai 20 orang kanak-kanak dalam kumpulannya itu adalah dari murid Tahun Empat kerana matlamat jangka panjang pasukannya adalah untuk bekerja dengan mereka selama dua tahun sebelum mereka melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah.
“Sebaik saja mereka bersemangat, kami rancang untuk beralih kepada subjek akademik dan mengajar mereka Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Ini akan membantu mereka bersedia sebelum melangkah ke sekolah menengah.
“Sebagai seorang guru, saya mahu lihat kanak-kanak ini berjaya dalam hidup,” katanya.
Hamidi melihat program itu sebagai batu loncatan untuk menyelesaikan masalah keciciran di sekolah, kerana platform sebegitu akan membantu pelajar mencipta matlamat hidup mereka sendiri.
Kata Hamidi, pasukannya terbuka untuk mengembangkan program itu dengan syarat mempunyai tenaga kerja dan pembiayaan yang mencukupi.