Guna logo PAS di Terengganu, kata pemimpin PN negeri

Guna logo PAS di Terengganu, kata pemimpin PN negeri

Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini dilaporkan berkata parti itu secara dasarnya bersetuju menggunakan logo PN yang baharu.

Pengarah Pilihan Raya PN Terengganu Ariffin Deraman mencadangkan tinjauan di Kelantan, Kedah dan Terengganu untuk melihat logo mana lebih diterima penduduk. (Gambar Bernama)
SERDANG:
Seorang pemimpin PAS Terengganu mencadangkan parti itu dibenarkan menggunakan logonya pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Gesaan itu timbul di sebalik persetujuan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini yang dilaporkan berkata parti itu secara dasarnya bersetuju menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) yang baharu.

“Disebabkan perbezaan politik di peringkat nasional dan pantai timur, saya ingin mencadangkan kepada pemimpin PN supaya Terengganu menggunakan logo PAS pada pilihan raya umum akan datang,” kata Pengarah Pilihan Raya PN Terengganu Ariffin Deraman.

“Bukan kepimpinan kita (negeri) tidak terima logo PN, tetapi minta supaya satu tinjauan dijalankan di Kelantan, Kedah dan Terengganu untuk melihat logo mana yang lebih diterima oleh penduduk di sana.”

Exco Terengganu itu berkata beliau tiada masalah menggunakan logo PN sekiranya tinjauan mendapati ia boleh diterima pengundi di pantai timur.

“Yang penting kita mahu menang besar dalam pilihan raya akan datang,” kata ADUN Alur Limbat itu ketika ucapan pada Konvensyen PN di sini.

Pada 22 Julai lalu, Hadi berkata PAS pada dasarnya bersetuju menggunakan logo baharu PN pada PRU15.

Pada 11 Julai, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu akan memperkenalkan logo baharu untuk PRU15 seperti dicadangkan majlis tertinggi gabungan itu.

Sebelum itu, Muhyiddin mendakwa Hadi bersetuju untuk menggunakan logo PN pada PRU15, dengan berkata kepimpinan PAS “boleh mengesahkannya”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.