
Mursyidul Am PAS Hashim Jasin menegaskan perkara itu ketika mengulas masa depan MN selepas Umno dan Barisan Nasional (BN) berulang kali menegaskan untuk bergerak solo dalam PRU15 termasuk enggan bekerjasama dengan Bersatu yang membentuk kerajaan bersama di Putrajaya hari ini.
Katanya, Presiden Umno Ahmad Zahid sendiri bersetuju dan menyokong syarat perjanjian dalam piagam MN di mana jika berlaku perselisihan faham, kedua-dua parti itu hendaklah merujuk al-Quran dan sunnah bagi memastikan penyatuan ummah dikekalkan tanpa sebarang perpecahan yang merugikan Islam.
“Saya masih ingat lagi waktu sebelum perjanjian ditandatangani di PWTC kebetulan Zahid datang ke Kedah dan kebetulan juga jumpa dengan PAS, jumpa dalam keadaan santai.
“PAS cadang supaya perjanjian itu diakhiri dengan contohnya jika berlaku perselisihan di antara pihak yang tandatangan ini, maka hendaklah dirujuk kepada Allah dan rasul atau quran dan sunnah, masa itu Zahid setuju, dia kata bagus-bagus dan ia dimasukkan dalam piagam itu dan ditandatangani kedua-dua parti.
“Jadi rujuklah, buka balik piagam jika kita berselisih di mana keputusannya mesti ikut al-Quran dan sunnah, tapi kalau nak cari alasan hal remeh-temeh itu maknanya kita tak rujuk perjanjian kita, sebab itu walaupun Umno nak lipat perjanjian MN dalam laci, kita (PAS) kekal terbuka nak kerjasama bukan sahaja dengan Umno siapa sahaja sampai sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat kali ke-61 di Dewan Serbaguna Guar Chempedak.
Hashim juga menegaskan bahawa isu perpaduan ummah tidak hanya merujuk kepada kerjasama Umno dan PAS sebalik parti itu terbuka dengan semua pihak termasuk dengan bukan Islam yang tidak ekstrem.
Katanya, walaupun Umno bertegas menolak kerjasama dengan Bersatu, ia bukan suara majoriti dalam parti itu apabila masih ada pemimpin yang mahu tiga parti itu bersama termasuk menghadapi pilihan raya.
“Makanya bukan semua antara pimpinan Umno tolak nak bersama dengan Bersatu dan PAS, ke arah perpaduan ummah, kita harap sebahagiannya dibuka pintu hati mereka dan kita balik kepada agenda perpaduan ummah,” katanya.
Beliau juga menolak dakwaan kononnya PAS terdesak nak bekerjasama apabila Umno berulang kali menolak untuk bersama Bersatu kerana parti itu sudah berpuluh tahun bergerak solo.
“PAS ditubuhkan sejak 1951 sampai sekarang macam-macam kita lalui, tekanan berpakat, bertanding solo dan macam-macam, apakah PAS terdesak sekarang? PAS tak terdesak sebab kita ada tempat bergantung dengan al-Quran, kalah menang kita anggap perjuangan,” katanya.