
Pada masa sama, S Deva yang juga Ketua Penerangan MIC Johor meminta Jazlan hadir secara gentleman untuk memberi sokongan kepadanya ketika hari pencalonan PRU nanti.
“Apa jua cabaran, pemimpin MIC Johor akan sahut dengan berani demi maruah ahli-ahli kami dan untuk pengetahuan, MIC ditubuhkan pada 1946 bukan sahaja sebuah parti politik tetapi entiti wadah perjuangan dalam Barisan Nasional (BN).
“Kami sentiasa berdiri teguh dan berpegang dengan prinsip setiakawan dan tidak pernah sesekali pun meninggalkan Umno dan MCA dalam BN baik ketika menang mahupun kalah,” katanya di Facebook.
Jelas Deva lagi, keberaniannya menyahut cabaran itu kerana kenyataan Jazlan yang secara angkuhnya menawarkan kerusi Parlimen Pulai kepada pemimpin parti komponen dari MCA dan MIC pada PRU15 adalah bagai gunting dalam lipatan.
“BN tewas di Pulai kerana pendekatan dan mutu perkhidmatan beliau kurang memuaskan, telah menimbulkan kebencian dalam kalangan pengundi.
“Saya anak jati Kampung Pulai dan menetap di sini sejak 25 tahun lalu, berbanding Jazlan, beliau lahir Selangor dan menetap di Kuala Lumpur,” katanya yang turut mendakwa Jazlan jarang turun padang ketika menjadi Ahli Parlimen dan hanya akan muncul jika ada pilihanraya.
Beliau yang berpengalaman selama 22 tahun dalam politik menegaskan, rata-rata pengundi di Pulai dahagakan seseorang pemimpin yang boleh mudah didekati.
“Kekalahan BN pada 2018 ada hikmahnya, dalam jangkamasa genting itulah kita dapat sama-sama menilai yang mana satu kawan, lawan dan pembelot untuk dijadikan silibus ilmu pengajaran yang paling berharga buat diri kita dalam BN,” katanya turut mengingatkan Jazlan menjadi menjadi punca utama BN tewas di Parlimen Pulai pada PRU14.