Dedahkan ’19 isu penting’ dalam memoir Thomas, gesa Ahli Parlimen

Dedahkan ’19 isu penting’ dalam memoir Thomas, gesa Ahli Parlimen

Kerajaan perlu menerbitkan penemuan pasukan petugas khas yang ditubuhkannya untuk menyiasat segala dakwaan dalam tulisan bekas peguam negara itu, kata Wong Chen.

Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata, kerajaan tidak boleh menggunakan pasukan petugas khas sebagai suatu ‘ekspedisi’ mencari maklumat atau untuk membalas ‘dendam politik’.
PETALING JAYA:
Kerajaan mesti mendedahkan 19 isu utama dalam memoir bekas peguam negara Tommy Thomas seperti yang diketengahkan oleh pasukan petugas khas, kata seorang Ahli Parlimen.

Ahli Parlimen Subang Wong Chen daripada PKR berkata, Thomas juga perlu diberi masa yang mencukupi untuk menyediakan jawapan bagi setiap isu yang dibangkitkan.

Pasukan itu dilantik oleh kerajaan untuk menyiasat dakwaan salah guna kuasa, campur tangan dalam badan kehakiman, pendakwaan bermotifkan politik dan kesalahan lain.

Pasukan itu dipercayai telah membangkitkan 19 isu yang menimbulkan kebimbangan diperoleh daripada kajian memoir Thomas.

“Kerajaan perlu mendedahkan terma rujukan pasukan petugas itu dan menerbitkan penemuannya,” kata Wong Chen kepada FMT.

“(Kerajaan) tidak boleh menggunakan pasukan petugas sebagai suatu ‘ekspedisi’ mencari maklumat atau untuk membalas ‘dendam politik’.”

Minggu lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, laporan akhir pasukan petugas itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam “masa terdekat”.

Wong berkata, beliau menyokong siasatan oleh jawatankuasa pilihan dwipartisan Parlimen berbanding bergantung kepada penemuan pasukan petugas khas yang ditubuhkan oleh badan eksekutif.

Seorang pemimpin Pemuda Umno juga telah meminta jawapan berhubung memoir Thomas.

Ketua Penerangan Umno Wilayah Persekutuan Wan Agyl Wan Hassan berkata, memoir itu mengandungi “jawapan” kepada banyak soalan mengenai keadaan undang-undang dan pentadbiran keadilan.

“Bilakah penemuan pasukan petugas itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri? (Sebanyak) 19 penemuan penting ini bukan sahaja menarik bagi Jemaah Menteri tetapi juga bagi orang ramai,” katanya.

“Kita perlu membetulkan salah faham mengenai dakwaan serius yang dibuat dalam tulisan Thomas, tetapi kerajaan nampaknya tidak berminat untuk berbuat demikian.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.