
Azri Awang berkata, peruntukan bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan itu melanggar Perkara 5(1) dan 8(1) dalam Perlembagaan Persekutuan.
Dalam saman pemula yang difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban pada Julai, dia berkata, peruntukan itu menyekat kebebasan peribadinya dan hanya mendiskriminasikan lelaki.
Azri mahu mahkamah membatalkan peruntukan itu dan mengisytiharkannya sebagai bercanggah dengan perlembagaan, atau mengubah suai seksyen itu seperti yang dibenarkan bawah Perkara 162(7) dan 162(8), memandangkan undang-undang itu digubal sebelum kemerdekaan.
Bagaimanapun, kerajaan yang dinamakan sebagai responden, memohon untuk membatalkan saman itu atas alasan perkara itu telah diputuskan oleh mahkamah yang kompeten.
Peguam mewakili Azri, P Purshotaman berkata, anak guamnya akan memfailkan afidavit untuk menjawab permohonan pembatalan saman itu.
Azri, 31, didakwa melakukan kesalahan itu di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada 3 Nov 2019. Pada 6 Mac tahun ini, majistret menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,500. Bagaimanapun, hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Tinggi.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kuala Terengganu antara 25 Nov 2016 dan 17 Jun 2018.
Semasa perbicaraan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Azri membuat permohonan untuk merujuk keperlembagaan kesalahan itu kepada Mahkamah Tinggi.
Majistret menolak permohonan itu.
Pada 25 Feb tahun ini, dia memfailkan semakan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu terhadap keputusan majistret itu.
Pada 9 Mei, Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu, dan Azri memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.
Seksyen 498 Kanun Keseksaan membenarkan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika tertuduh didapati bersalah.
Kali terakhir kesalahan jenis ini menarik perhatian umum adalah pada 2009 apabila bekas suami selebriti Daphne Iking menuduh seorang tokoh korporat memikat isterinya.