
Mohammad Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya (UM) berkata, dalam situasi sekarang PAS sebenarnya dilihat lebih membantu Gerakan yang semakin lemah dan hanya menumpang kekuatan parti itu menerusi Perikatan Nasional (PN).
“Gerakan sendiri lemah selepas tewas di Pulau Pinang, bila keluar Barisan Nasional (BN) mereka tiada momentum menyaingi parti Cina lain seperti DAP dan MCA.
“Maka PAS kena cari sendiri cara tanpa bergantung dengan Gerakan untuk dapat sokongan bukan Islam termasuk menggunakan sayapnya iaitu Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) dan menarik tokoh besar,”katanya kepada FMT.
Mengulas lanjut, Tawfik berkata, PAS sebaiknya bergerak solo untuk berdepan pilihan raya umum (PRU) dan harus sedar kerjasama menerusi PN hanya menguntungkan Bersatu serta Gerakan yang menumpang kekuatan jenteranya.
“PAS boleh bergerak solo yang akan menyebabkan mereka dihormati dan pada masa sama memudahkannya berunding parti Melayu lain kerana tidak terikat.
“Mereka boleh runding dengan Umno dan Bersatu untuk elak pertembungan lebih besar. Bagi saya PAS silap sertai PN kerana tidak menguntungkannya, buktinya pada pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Melaka (kalah teruk), katanya.
Tawfik mengulas harapan akar umbi PAS pada Muktamar Tahunan PAS ke-68 yang meminta rakan PN, Gerakan untuk menarik sokongan bukan Islam dan mengubah persepsi negatif seperti dilakukan DAP di era PR.
Perwakilan dari Larut, Manaf Yassin berkata, DAP sebelum ini berjaya meyakinkan pengundi bukan Islam termasuk menepis tuduhan kononnya PAS anti bukan Islam, namun keadaan itu tidak berlaku kini.
Menurutnya, antara persepsi dibangkitkan termasuk hudud yang tiada kaitan dengan bukan Islam dan PAS sebenarnya menghormati hak kebebasan beragama yang dapat dilihat dengan adanya patung Buddha di Kelantan.
“Harap rakan kita dalam PN dapat ubah persepsi negatif dimomok kepada bukan Islam terhadap PAS,” katanya ditemui FMT.