
“Sebab akhirnya masa malam PRU tak diukur berapa kerusi kita bertanding tapi berapa kerusi kita menang.
“Bila kita dapat (kerusi) jangan kita sia-siakan tapi kita gunakan kesempatan sepenuh tenaga dan kudrat kita untuk menang PRU,” kata Presiden Amanah Mohamad Sabu ketika ucapan penggulungan Konvensyen Nasional Amanah.
Konvensyen Nasional Amanah kali ini merupakan perhimpunan terakhir parti itu sebelum PRU15.
Isu berkaitan calon menjadi topik hangat diperkatakan apabila Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda menuntut partinya bersikap adil dalam soal pengagihan kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada parti itu pada PRU akan datang.
Kenyataan itu disusuli ucapan Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan, bahawa sayap Pemuda tidak akan pernah lelah menuntut hak yang sama diberikan kepada mereka berhubung soal pembahagian kerusi.
Malah, Hazmi berkata sayap Pemuda berasa “cemburu” dengan Muda dan “terpinggir” berkaitan pembahagian kerusi.
Ia mengundang rasa “hiba” Naib Presiden Amanah Dr Siti Mariah Mahmud yang berkata, pemimpin parti yang berusia 60 tahun dan ke atas sedia berundur jika benar mereka tidak lagi diperlukan dalam parti.
Mariah berkata, keberadaan pemimpin veteran dalam Amanah adalah kerana pengalaman yang ada pada mereka.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata beliau tidak melihat perkara dibangkitkan itu sebagai usaha melemahkan parti.
“Bertengkar, berhujah sekarang, bila bubar Parlimen kita kerja sebagai satu pasukan,” katanya.