Kes rasuah Zahid: Mahkamah benar pendakwaan cabar saksi pembelaan

Kes rasuah Zahid: Mahkamah benar pendakwaan cabar saksi pembelaan

Kontraktor Jefri Jamil dikatakan memberikan keterangan bercanggah di mahkamah dengan apa yang diberikan kepada SPRM.

Ahmad Zahid Hamidi berdepan pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah berkait Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah bagi pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pihak pendakwaan memulakan prosiding untuk mencabar kredibiliti seorang pengarah syarikat pembinaan pada perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan Ahmad Zahid Hamidi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata, permohonan mengikut Seksyen 155(c) Akta Keterangan 1950 dan seksyen berkenaan membenarkan prosiding itu dimulakan kerana pernyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu tidak menyentuh sama ada ia tertakluk bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) atau sebaliknya.

Beliau kemudian menangguhkan pendengaran untuk memberikan masa kepada pihak pendakwaan dan pembelaan membuat hujahan.

Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran, membuat permohonan itu ketika pemeriksaan balas terhadap Jefri Jamil, saksi pembelaan ketiga dalam perbicaraan Zahid yang didakwa bercanggah dengan pernyataan yang diberikan kepada SPRM.

Jefri merupakan saksi yang ditawarkan kepada pihak pendakwaan ketika Zahid diperintah membela diri.

Di mahkamah, Jefri berkata, Zahid membenarkan syarikatnya, Teknik Sempurna Sdn Bhd, membina masjid dan sekolah agama di Melaka bernilai RM9.9 juta dan pembayaran dibuat melalui Yayasan Akalbudi.

Jefri memberitahu Raja Rozela bahawa dia memberikan keterangan kepada SPRM, pada 2018, namun tidak mengingatinya lagi.

Ia menjadi pencetus kepada Raja Rozela untuk membuat permohonan terbabit. Bagaimanapun, ketua pasukan pembelaan, Hisyam Teh Poh Teik, membantah sambil menyatakan pihak pendakwaan tidak boleh mencabar keterangan diberikan Jefri.

Hisyam berkata, ini kerana SPRM, pada 7 Mac tahun ini mengklasifikasikan lapan kertas siasatan berhubung kes itu mengikut OSA.

Pengklasifikasian berkenaan dibuat apabila pihak pembelaan cuba mendapatkan keterangan semua saksi yang ditawarkan kepada mereka. Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan itu, pada Mei.

Hari ini, Hisyam berkata, tiada keterangan menyatakan kertas siasatan itu sudah dinyahklasifikasikan.

“Pihak pendakwaan tidak boleh menggunakan keterangan Jefri kerana ia termasuk dalam OSA,” katanya.

Raja Rozela berkata, kredibiliti Jefri boleh dicabar mengikut Seksyen 155(c) Akta Keterangan, kerana memberikan keterangan tidak konsisten dengan keterangan terdahulu.

Zahid berdepan tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah membabitkan jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah bagi pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri.

Sebanyak 27 pertuduhan bagi pengubahan wang haram, manakala lapan bagi rasuah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.