Tuntutan palsu RM27 juta program teknologi digital, 2 lagi ditahan SPRM

Tuntutan palsu RM27 juta program teknologi digital, 2 lagi ditahan SPRM

Mereka ditahan ialah bekas pengurus kanan agensi kerajaan dan pemilik syarikat berkaitan digital.

SPRM berkata, kedua-dua suspek didakwa mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM27 juta bagi program latihan berkaitan teknologi digital.
PUTRAJAYA:
Dua lagi individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM27 juta bagi program latihan berkaitan teknologi digital.

Menurut sumber, bekas pengurus kanan sebuah agensi kerajaan dan pemilik syarikat berkaitan digital berusia 50-an itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM, 7.30 malam tadi ketika hadir memberi keterangan.

Sumber berkata, kedua-dua lelaki itu direman selama dua hari sehingga esok selepas perintah reman terhadap mereka dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Tan Kang Sai mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Semalam, lima individu direman tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu kepada sebuah agensi kerajaan bagi program latihan berkaitan teknologi digital sedangkan latihan berkenaan tidak dilaksanakan.

Kes berkenaan dipercayai melibatkan dua buah syarikat yang telah dibayar tuntutan masing-masing berjumlah lebih RM19 juta dan lebih RM7 juta bagi menjalankan program latihan dari 2016 hingga 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.