Terima keputusan mahkamah bebas Zahid, hormat sistem kehakiman, kata Warisan

Terima keputusan mahkamah bebas Zahid, hormat sistem kehakiman, kata Warisan

Presiden Warisan Shafie Apdal berkata terpulang kepada peguam negara untuk merayu keputusan mahkamah, tetapi menegaskan keputusan hakim mesti diterima oleh semua.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam daripada 40 pertuduhan rasuah dihadapinya.
PETALING JAYA:
Presiden Warisan Shafie Apdal berkata, rakyat perlu menerima keputusan mahkamah membebaskan Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 tuduhan rasuah berkait visa luar negara (VLN) sebagai tanda penghormatan kepada undang-undang mahupun sistem kehakiman.

Bekas ketua menteri Sabah itu berkata, terpulang kepada peguam negara untuk merayu keputusan mahkamah, tetapi menegaskan bahawa keputusan hakim mesti diterima oleh semua.

“Kalau mahkamah putuskan seumpama itu, maka perlu terima. Kalau ada rayuan, pihak kerajaan akan buat rayuan. Itu terserah kepada mereka, tapi kita menghormati apa ketetapan pihak mahkamah,” katanya kepada wartawan ketika membuat lawatan ke Pulau Larapan di Semporna.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Yazid Mustafa memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap presiden Umno itu.

Turut senada dengan Shafie, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Razali Idris, yang menyatakan Bersatu bukan parti akan menentang sebarang keputusan mahkamah jika ia memihak kepada individu tidak “sebulu” dengannya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak termasuk parti-parti politik, supaya tidak hanya menyokong serta menghormati keputusan mahkamah jika ia memihak kepada pihak yang disokong, dan sebaliknya jika bertentangan dengan kemahuan mereka.

“Elakkan daripada setuju (dengan keputusan mahkamah) apabila terkena pada orang lain dan menyanggah apabila kena batang hidung sendiri.

“Rakyat perlu mengangkat martabat sistem kehakiman dan mahkamah dengan menghormati setiap keputusan,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, katanya, walaupun Zahid dibebaskan daripada tuduhan dalam kes  VLN, kes lain membabitkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang sedang berjalan tidak boleh diganggu.

Hakim ada asas ketika buat pertimbangan

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau yakin hakim mempunyai asas dalam membuat pertimbangan.

“Kita hormati keputusan mahkamah. Setiap keputusan akan ada yang gembira dan akan ada yang dukacita, namun negara ini ada sistem dan menjadi ikrar bersama untuk menjunjung kedaulatan undang-undang.

“Masyarakat perlu dididik menghormati keputusan mahkamah, dalam apa jua keputusan, jangan bila kita setuju kita sokong keputusan (mahkamah), bila kita tak setuju kita bantah.

“Hakim mempunyai asas dalam membuat sesuatu keputusan dan beliau bertanggungjawab dunia akhirat atas keputusannya,” katanya kepada FMT.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin, berkata partinya tegas dengan keputusan sedia bekerjasama dengan mereka yang bebas rasuah termasuk selepas mahkamah memutuskan individu terbabit tidak bersalah.

Zahid, 69, didakwa atas 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) ketika menjadi menteri dalam negeri, untuk menyambung kontrak firma itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN, serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak bagi pembekalan sistem bersepadu VLN.

Dia juga didakwa atas tujuh lagi tuduhan memperoleh untuk dirinya SGD1.15 juta; RM3 juta; 15,000 franc Swiss; dan USD15,000 daripada syarikat sama berkaitan dengan tugas rasminya.

Presiden Umno itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Dia masih berdepan 35 tuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkait pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa beliau menjadi menteri dalam negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.