Bersatu mungkin tak sokong Bajet 2023, kata bekas menteri

Bersatu mungkin tak sokong Bajet 2023, kata bekas menteri

P Waytha Moorthy berkata serangan terbaharu Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin terhadap BN menjadi petunjuk kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob rapuh.

Kenyataan terbaharu Muhyiddin Yassin menunjukkan Bersatu tidak mempunyai keyakinan terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, kata P Waytha Moorthy. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
“Pertembungan” terbaharu antara Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mungkin menyaksikan parti teras Perikatan Nasional (PN) itu tidak menyokong Bajet 2023, kata seorang bekas menteri.

Bekas menteri perpaduan dan kesejahteraan sosial, P Waytha Moorthy, berkata “pengisytiharan perang terbuka” terhadap Barisan Nasional (BN) jelas menunjukkan Bersatu tidak mempunyai keyakinan terhadap kerajaan pimpinan Ismail.

“Tindakan mengisytiharkan perang terbuka memaparkan kerajaan sedia ada sebagai rapuh dan mungkin jatuh pada bila-bila masa.

“Kenyataan Muhyiddin menjadi petunjuk tiada jaminan parti itu (Bersatu) akan menyokong Bajet 2023, yang dijangka dibentang pada 7 Okt,” kata presiden Malaysian Advancement Party itu dalam kenyataan.

Minggu lalu, Muhyiddin berkata, pilihan raya umum perlu diadakan sekiranya Ismail tidak mampu menguruskan ekonomi dan negara dengan baik, sambil menyatakan ada keperluan bagi rakyat kembali memilih kerajaan cekap.

Ismail membidas pendahulunya itu, sambil menyatakan jika kerajaan dikatakan gagal menguruskan ekonomi dan negara, ia bermakna Majlis Pemulihan Ekonomi Negara (MPN) yang dipengerusikan Muhyiddin juga gagal apabila ditugaskan menjadi penasihat kepada kerajaan.

Dalam majlis sambutan ulang tahun Bersatu pada Sabtu, Muhyiddin mengumumkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Bajet 2023 akan dibentangkan pada 7 Okt, dalam sidang Dewan Rakyat yang bermula Isnin depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.