Kita terpaksa terima kerajaan sedia ada yang ‘huru-hara’, kata Loke

Kita terpaksa terima kerajaan sedia ada yang ‘huru-hara’, kata Loke

Loke Siew Fook berkata, langkah mengadakan PRU15 tidak lama lagi hanya akan membebankan rakyat kerana musim tengkujuh semakin hampir.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook menggesa Putrajaya memberi tumpuan kepada keperluan rakyat bukannya mengadakan pilihan raya dalam tempoh terdekat.
PETALING JAYA:
Rakyat terpaksa menerima pentadbiran kerajaan sedia ada kerana situasi ketika ini tidak sesuai untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kata Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook.

Sambil menyatakan adalah penting memilih kerajaan yang berkebolehan untuk menyelesaikan masalah yang melanda negara, Loke berkata mengadakan PRU15 tidak lama lagi hanya akan membebankan rakyat memandangkan musim tengkujuh semakin hampir.

“Kenyataan terbaru Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Muhyiddin Yassin jelas menunjukkan kerajaan semasa dalam keadaan huru-hara.

“Bagaimanapun, pilihan raya tidak boleh diadakan dalam tempoh terdekat atas faktor risiko banjir.

“Kita mesti menerima keadaan sekarang dan kerajaan perlu terus bekerjasama dengan pembangkang untuk menyelesaikan masalah negara,” katanya dalam program mingguannya yang disiarkan dalam talian malam tadi.

Beliau menggesa Putrajaya memberi tumpuan kepada keperluan rakyat yang kini dibebani kenaikan harga barang dan kemerosotan ekonomi.

Pada minggu lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz menolak dakwaan bahawa Malaysia berada dalam krisis ekonomi.

Beliau memberi contoh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan pertumbuhan positif 5.0% dalam suku pertama dan 8.9% pada suku kedua tahun ini.

Tambahnya, berdasarkan kadar pemulihan, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka melepasi ramalan awal.

Bagaimanapun, beliau mengakui 2023 akan menjadi tahun yang mencabar untuk semua negara.

Pada Selasa lalu, Muhyiddin mengkritik Putrajaya kerana lambat atau gagal melaksanakan cadangan MPN.

Muhyiddin melahirkan kebimbangan bahawa tindakan perlahan kerajaan dalam memacu ekonomi akan merugikan rakyat, memetik ramai ahli ekonomi global meramalkan kemelesetan ekonomi pada tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.