
“Muda masuk, Warisan datang. Malangnya, ini masa paling teruk untuk mempromosikan parti berbilang kaum kerana pasaran di Semenanjung Malaysia sudah sesak,” kata Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania.
Parti lebih besar seperti PKR dan DAP, adalah parti berbilang kaum pada nama saja, dan keahliannya terbuka kepada semua. “Mereka tidak menghalang sesiapa menyertainya, walaupun difahamkan PKR diketuai orang Melayu dan DAP pula diketuai orang Cina,” katanya.
Dalam Perhimpunan Agung pertama PBM semalam, bakal presiden, Zuraida Kamaruddin berkata, parti itu akan melancarkan doktrin “Bangsa Malaysia” yang memfokuskan rakyat Malaysia menerima cara hidup satu sama lain.
PBM berkata, berbilang kaum adalah prinsip teras pertama, dengan yang lain ialah memperkasakan wanita dan generasi muda, memfokuskan pembangunan ekonomi, pendidikan serta kemajuan sains dan teknologi.
Chin berkata, sekiranya PBM tidak memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya umum akan datang, parti itu sukar terus bertahan, tanpa mengira pendirian berbilang kaumnya.
“Cara ia berfungsi dalam sistem Malaysia ialah rakyat tidak memandang anda serius, sekiranya anda tiada wakil di Parlimen. Jadi, mereka (PBM) benar-benar perlu memenangi beberapa kerusi,” katanya.
Dalam konteks politik Malaysia lebih luar, Chin berkata, ruang untuk parti pelbagai kaum semakin kecil, dan ini diburukkan lagi dengan kebangkitan politik Islam, sebarang tafsiran Islam sebagai sumber identiti dan tindakan politik.
“Garis pemisah di Malaysia sekarang adalah Islam. Oleh itu, anda boleh lihat pemimpin seperti Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan Umno memainkan kad Islam kerana tidak kira anda suka atau tidak, perkara seperti ini berkesan, khasnya dalam kalangan orang Melayu di luar bandar.”
Saintis politik dari Akademi Nusantara, Azmi Hassan meragui kemampuan PBM untuk berjaya dengan pendirian berbilang kaum.
Katanya, antara sebabnya ialah cara pembentukan PBM. “Parti ini tiada asas kukuh, ia parti yang bermula dengan Ahli Parlimen melompat ke parti lain.”
Sebaliknya, parti seperti Muda yang bermula dari bawah kemungkinan mampu menarik sokongan dengan pendirian berbilang kaum kerana ia parti yang bermula dengan rakyat.
Azmi meragui doktrin Bangsa Malaysia yang dilaungkan PBM dapat menarik sokongan yang dikehendaki.