
Mahkamah Persekutuan menukar hukuman itu kepada penjara 15 tahun terhadap K Premraj, 39, atas kesalahan membunuh tanpa niat.
Tiga panel dipengerusikan Hakim Vernon Ong berkata, hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan tersalah arah dengan tidak mempertimbangkan pembelaan berkanun yang ada terhadap tertuduh mengikut Seksyen 300 Kanun Keseksaan.
Ong dan dua lagi panel hakim, Rhodzariah Bujang dan Zabidin Mohd Diah kemudiannya mengetepikan sabitan kesalahan membunuh dan menukar kepada membunuh tanpa niat.
Peguambela, Afifuddin Ahmad Hafifi terdahulu memberitahu, dua mahkamah sebelum ini tidak mempertimbangkan pergaduhan yang berlaku tiba-tiba ketika kemuncak pertengkaran mereka.
“Juga tiada perancangan awal daripada perayu untuk menyebabkan kematian abangnya,” katanya.
Pada hujung 2017, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati terhadap Premraj kerana membunuh Prakash di hadapan bangunan Avon di Petaling Jaya pada 10 Nov 2014, jam 11 pagi.
Mahkamah Rayuan menolak rayuan Premraj pada 2018.
Menurut fakta kes, Prakash membeli sebuah lori untuk Premraj dengan mengambil pinjaman bank menggunakan namanya.
Premraj gagal membayar ansuran bulanan lori itu menyebabkan nama Prakash disenarai hitam.
Prakash mahu mengambil semula lori itu dan memberitahu seorang pengawal keselamatan di bangunan Avon, lokasi kenderaan itu diletakkan supaya tidak membenarkan Premraj mengambilnya.
Pada malam kejadian, Premraj pergi ke bangunan itu untuk mengambil lori berkenaan tetapi pertengkaran tercetus antara mereka. Selepas itu, Premraj dilaporkan mengeluarkan parang dan menetak abangnya sebanyak dua kali menyebabkan mangsa mati.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa raya, Leon Anak Saga.