Jemaah Menteri setuju sistem tol tanpa henti menjelang 2025

Jemaah Menteri setuju sistem tol tanpa henti menjelang 2025

Dengan pelaksanaan sistem itu, kenderaan tidak perlu berhenti untuk membayar tol dan tiada palang tol.

Fadillah Yusof berkata, sistem kutipan tol tanpa henti yang dikenali sebagai Aliran Bebas Pelbagai Lorong itu bertujuan mengurangkan kesesakan di plaza tol.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kerja Raya menyasarkan untuk memperkenalkan sistem kutipan tol tanpa henti yang dikenali sebagai Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) menjelang 2025 dalam usaha mengurangkan kesesakan di plaza tol.

Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof berkata, cadangan itu sudah mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Dengan pelaksanaan MLFF, katanya, kenderaan tidak perlu berhenti untuk membayar tol dan tiada palang tol.

“Seterusnya adalah rundingan bersama semua syarikat konsesi tol bagaimana ia akan dilaksanakan supaya dapat memberi kemudahan kepada pengguna lebuh raya.

“Selepas itu, bagaimana kita integrasikan daripada sistem MLFF…kita akan mewujudkan ‘command centre’ (pusat arahan) diuruskan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang perlu integrasi dengan semua majlis perbandaran atau bandar raya,” katanya dalam sesi libat urus menteri kerja raya bersama media.

Menurut Fadillah, MLFF antara inisiatif di bawah Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) 2019-2023 kementeriannya yang dibangunkan bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dan memacu pembangunan aplikasi ITS di negara ini.

Beliau memaklumkan kementeriannya turut memulakan proses membangunkan penimbang berat kenderaan bagi mengesan lori lebih muatan yang boleh menjadi punca kesesakan dan kerosakan jalan raya.

Katanya, ia bagi mengesan had muatan secara automatik dan tindakan undang-undang akan terus dikenakan kepada syarikat lori tersebut.

Sementara itu, Fadillah berkata, kementeriannya akan memfokuskan isu keselamatan jalan raya seperti yang dibincangkan pada Persidangan Dunia ITS ke-28 dari 19 hingga 22 Sept lepas di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.