
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, menteri PN yang melompat parti sebelum ini sangat takut berdepan pengundi kerana sedar akan dihukum pada pilihan raya nanti.
“Pengundi marah ketika kempen PRU14, bercakap berdegar-degar dan janji pula melangit. Kata demi pengundi, demi parti disayangi, tapi bila menang, mereka melompat ke parti lain.
“Mereka berkhianat demi mendapat laba politik, jawatan dan kedudukan kerana…yang lompat parti dan menjadi menteri sekarang sedar peluang mereka untuk menang sangat tipis.
“Justeru, mereka cuba kekalkan kuasa, cuba tangguhkan pilihan raya kerana takut kalah, maka lebih baik kekal dengan jawatan dan kedudukan masa kini, menikmati manfaat sebelum hilang kuasa,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Naib Presiden Bersatu, Radzi Jidin mengesahkan 12 menteri PN mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung pendirian gabungan itu tidak mahu PRU15 diadakan tahun ini kerana mereka berpendirian kebajikan rakyat perkara penting yang perlu diberikan tumpuan ketika ini.
Zahid turut menyifatkan 12 menteri PN itu terdesak mengekalkan jawatan masing-masing.
“Sudah pasti sebahagian besarnya bukanlah pemimpin yang berwibawa kerana tindak-tanduk mereka sebelum ini mengecewakan pengundi sendiri. Ada yang kalah teruk pilihan raya, akan tetapi diangkat menjadi senator, lalu dilantik sebagai menteri, bukan sebarang menteri, akan tetapi menteri kanan.
“Wakil rakyat lain, puluhan tahun dipilih rakyat dan berkhidmat, tidak pula dilantik menjadi menteri kanan, yang kalah pilihan raya ini pula diangkat menjadi menteri kanan, ada pula dilantik menjadi timbalan menteri,” katanya.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berharap tiada wakil rakyat Umno serta BN bersubahat dengan agenda musuh mereka kerana tindakan akan diambil terhadap mereka yang terlibat apabila tiba masanya.