Belum terima makluman bubar Parlimen, kata Azhar

Belum terima makluman bubar Parlimen, kata Azhar

Speaker Dewan Rakyat berkata perbahasan Bajet 2023 bersambung esok seperti biasa.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun, berkata persidangan Dewan Rakyat diteruskan seperti biasa esok kecuali beliau dimaklumkan berhubung pembubaran Parlimen. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Parlimen belum menerima sebarang pemakluman mengenai pembubarannya, kata Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun.

Katanya, justeru, sesi Dewan Rakyat akan diteruskan seperti dijadualkan esok yang antara lain akan membahaskan Bajet 2023.

Memetik Berita Harian, Azhar berkata persidangan Dewan Rakyat esok merupakan hari pertama bagi perbahasan Bajet 2023 selepas dibentangkan, pada Jumaat.

“Ya (sidang) diteruskan, macam biasa, kecuali saya dimaklumkan apa-apa, setakat ini tiada sebarang pemakluman, saya tidak tahu benda ini (pembubaran Parlimen) kerana ia adalah kuasa perdana menteri dan Yang di-Pertuan Agong.

“Esok akan berlangsung waktu pertanyaan menteri (MQT), pertanyaan lisan dan diteruskan dengan pembahasan Bajet 2023,” katanya laporan itu.

Sesi Dewan Rakyat bermula 3 Okt dijadual berlangsung hingga 29 Nov.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, di Istana Negara yang dipercayai berkaitan dengan mendapat perkenan baginda berhubung pembubaran Parlimen.

Memetik laporan New Straits Times (NST), kunjungan perdana menteri itu bagaimanapun tidak diketahui media yang biasanya berkumpul di luar pintu utama istana.

Yang di-Pertuan Agong berangkat ke London, malam tadi bagi mengadakan lawatan khas ke United Kingdom yang bermula hari ini hingga 16 Okt.

Turut kelihatan mengiringi keberangkatan Yang di-Pertuan Agong di lapangan terbang ialah Azhar yang mana kehadiran beliau dikaitkan dengan desas-desus pembubaran Parlimen, hari ini.

Ketika diminta mengulas mengenai perkara itu, Azhar berkata, tiada perbincangan langsung mengenai pembubaran Parlimen dilakukan ketika berada di lapangan terbang.

Beliau berkata, malah beliau hanya merafak sembah selamat berangkat kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Tiada perbincangan langsung, tidak sampai seminit pun, saya merafak sembah selamat sebelum baginda berangkat, itu sahaja.

“Saya memang akan mengiringi Yang di-Pertuan Agong ke lapangan terbang jika baginda berangkat ke luar negara kecuali jika saya berada di dewan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.