25 Nov keputusan permohonan Thomas batal saman Najib

25 Nov keputusan permohonan Thomas batal saman Najib

Bekas perdana menteri itu berkata, pertuduhan berkaitan 1MDB terhadapnya adalah 'sebahagian daripada perbuatan yang sudah lama dirancang' oleh kerajaan PH terdahulu.

Najib Razak memfailkan saman terhadap Tommy Thomas kerana melabelkannya ‘penjenayah’ dalam bukunya.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 25 Nov ini untuk membuat keputusan berhubung permohonan Tommy Thomas membatalkan saman yang difailkan Najib Razak terhadapnya berkaitan penyalahgunaan kuasa.

Hakim Ahmad Bache menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Najib dan Thomas sejak dua hari lalu.

Bekas perdana menteri itu memfailkan saman terhadap Thomas tahun lalu dengan mendakwa pertuduhan jenayah berkaitan 1MDB ke atasnya adalah “sebahagian daripada perbuatan yang sudah lama dirancang” oleh kerajaan Pakatan Harapan terdahulu.

Najib mendakwa Thomas, yang dilantik sebagai peguam negara pada 4 Jun 2018, menjalankan tugasnya “selaras dengan rancangan (itu)”. Thomas berkhidmat sebagai peguam negara sehingga 28 Feb 2020, susulan kejatuhan kerajaan PH.

Najib menuntut ganti rugi RM1.94 juta.

Thomas mendakwa kes ini difailkan sebagai cagaran, iaitu, “untuk digunakan dalam kempen (Barisan Nasional) menjelang pilihan raya negeri Melaka pada November lalu dan pilihan raya umum (PRU15)”.

Terdahulu, peguam Thomas, Alan Gomez hari ini mencabar dakwaan Najib bahawa pertuduhan berkaitan 1MDB sama seperti “pendakwaan politik”, dengan memberitahu mahkamah kes itu tidak digugurkan walaupun selepas tempoh Thomas menjadi peguam negara berakhir pada Februari 2020.

“Peguam Negara (ketika ini), Idrus Harun meneruskan pertuduhan itu. Beliau mempunyai budi bicara untuk menggugurkan pertuduhan, tetapi tidak berbuat demikian,” katanya.

Peguam Najib, Yudistra Darma Dorai memberitahu mahkamah, kes anak guamnya terhadap Thomas berdasarkan tindakan bekas peguam negara itu membuat kenyataan “prejudis” terhadap Najib, walaupun selepas meletak jawatan.

“Kami mahu dia datang ke mahkamah untuk menjawab mengapa bukunya (yang mengandungi kenyataan mengenai kes 1MDB) merujuk anak guam saya sebagai ‘penjenayah’.”

Ahmad kemudian bertanya kepada Gomez sama ada Thomas terlibat dalam mengendalikan kes 1MDB Najib yang sedang berlangsung.

“(Kes itu dikendalikan) Gopal Sri Ram, (tetapi Thomas) sebahagian daripada pasukan pendakwaan SRC International. Beliau membaca kenyataan pembukaan dan menjalankan pemeriksaan balas ke atas tertuduh (Najib) di peringkat pembelaan,” kata Gomez.

Beliau berkata, kes SRC International bukan sebahagian daripada subjek saman itu sekarang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.