Saya tiada masalah bincang kerjasama politik dengan Dr M, kata Anwar

Saya tiada masalah bincang kerjasama politik dengan Dr M, kata Anwar

Pengerusi PH itu bagaimanapun berkata, perkara yang ditekankan gabungan itu ialah kepentingan untuk melawan PN dan BN.

Anwar Ibrahim berkata, beliau tiada masalah berbincang dengan Dr Mahathir Mohamad berhubung kepentingan melawan PN dan BN atas dasar menolak rasuah, perkauman serta fahaman melampau.
PETALING JAYA:
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim tiada masalah untuk bertemu dan berbincang dengan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mengenai kerjasama politik menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Namun, Anwar berkata, perkara yang ditekankan PH ialah kepentingan untuk melawan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

“Tiada masalah. Boleh jumpa, boleh bincang, tetapi selalu saya tekankan mengapa nak lawan PN atau BN. Atas dasar (lawan) iaitu tolak rasuah, perkauman dan fahaman melampau. Kalau itu yang diminta, saya tiada masalah,” katanya dipetik Bernama semasa melawat Little India Klang di Jalan Tengku Kelana, Klang.

Media hari ini melaporkan Mahathir yang merupakan pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) bersedia bertemu Anwar bagi mengadakan rundingan kerjasama menghadapi PRU15.

Mengulas persediaannya bertanding di kerusi Parlimen Tambun dan sasaran PH di Perak, Anwar berkata, negeri itu antara kawasan yang akan ditawan PH pada PRU15.

Mengulas kenyataan bekas timbalan perdana menteri, Musa Hitam yang meletakkan beliau antara pemimpin mampu menerajui negara, Anwar mengucapkan terima kasih kerana kenyataan Musa itu membantunya dalam berkempen.

“Kenyataan Tun Musa itu membantu. (Musa kata) layak dan ada pendedahan peringkat antarabangsa. Saya ucapkan terima kasih kepada Tun Musa,” katanya.

Media sebelum ini menyifatkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob; bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin dan Anwar sebagai pemimpin yang mampu menerajui Malaysia.

Katanya, tiga pemimpin itu dilihat memiliki kualiti, daya tahan serta karisma dalam memimpin negara mengharungi cabaran semasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.