
Dalam video dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Tamil itu, bekas menteri belia dan sukan itu menyanyi rap bagi menjawab isu yang dihadapi kaum India yang dibangkitkan V Vikneswaran, S Jiven dan P Vishnu.
Antara soalan yang ditanya kepada Vikneswaran kepada Syed Saddiq termasuklah, mengapa orang India yang bekerja keras sukar mendapat tempat di universiti awam dan pekerjaan, dan adakah ia mempunyai kaitan dengan warna kulit.
Dalam jawapannya Syed Saddiq berkata, ini semua adalah “politik lama” yang kini menyamar sebagai “Keluarga Malaysia” dan mendakwa semua orang sama.
“Politik lama kita boleh lawan bersama-sama. Mari bersatu jadikan Malaysia lebih kuat. Ketepikan politik berasaskan bangsa, kita patut pandang politik berasaskan keperluan. Diskriminasi, sifat perkauman kita bangkang. Tiada kaum kita letak belakang,” jawab Syed Saddiq dalam lagu itu.
Jiven kemudiannya meminta “Budak Muar” kembali kepada realiti kerana dia sendiri datang daripada keluarga yang kaya. Tambahnya, untuk merdeka rakyat Malaysia berjuang bersama-sama tetapi selepas itu orang India berdepan dengan banyak masalah.
Syed Saddiq menjawab beliau datang datang keluarga kelas pertengahan tetapi mengakui ia mendapat keistimewaan untuk masuk ke universiti.
“Kita kini berusaha untuk mendapatkan peluang yang sama dan impian saya untuk Malaysia adalah bersaing di global. Yang susah kita bantu, yang berkuasa sila bantu!,” katanya.
Syed Saddiq juga menyanyi rap dalam bahasa Tamil dengan berkata, pendidikan penting untuk semua orang dan menggesa semua pihak bekerjasama mencapai impian itu.
Vishnu pula berkata, tidak banyak yang berubah untuk orang India di Malaysia dan masih digelar pendatang serta ada lagi yang tidak mempunyai kad pengenalan selepas 65 tahun.
“Pokok sudah ditanam tetapi di mana buahnya? Sistem kuota perlu dinilai semula. Sekiranya kamu mahu mengubah negara ini apakah jawapan kamu?,” soalnya dalam lagu itu.
Syed Saddiq membalas, “Ini sudah sampai masanya untuk mengubah institusi Malaysia. Kalau kerajaan tukar, tumbang berkali-kali. Institusi Malaysia dah jadi kalis korupsi. Kita tidak boleh kehilangan lima tahun lagi,”
“Undi orang yang betul dan buat keputusan yang betul. Orang politik lama fikir poket sendiri. 19 Nov kita halau mereka, jadi keluar dan pergi undi,” katanya.
Tiga penyanyi itu dikenali sebagai “Budak2 India rap Melayu” dan sebelum ini popular dengan satu klip video lagu Bangun yang disiarkan sempena Merdeka lalu.
Dalam klip video itu, kumpulan berkenaan menceritakan bagaimana orang India sering dianggap sebagai samseng berparang, dipersendakan kerana warna kulit mereka dan dinafikan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran walaupun menjadi pelajar cemerlang.