
Pengumuman itu dibuat Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin dalam program Jelajah Prihatin PN di sini.
“Malam ini sahih, bukan uar-uar, bukan khabar-khabar, tetapi diumumkan oleh pengerusi PN bahawa ini calon kita di Putrajaya.”
Bekas menteri Wilayah Persekutuan dan Bendahari Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor memenangi Parlimen Putrajaya sejak PRU 2004, setahun selepas kerusi itu diwujudkan susulan persempadanan semula.
Muhyiddin berkata, walaupun Tengku Adnan sudah melakukan pelbagai usaha demi Putrajaya, sekarang masanya untuk melakukan perubahan.
“Dan perubahan itu mestilah diterajui PN di bawah pimpinan Radzi.”
Radzi yang juga naib presiden Bersatu dipilih sebagai menteri pendidikan selepas dilantik sebagai senator.
Pada PRU14, Radzi bertanding di kerusi Parlimen Ketereh atas tiket Bersatu, tetapi beliau tewas dalam pertarungan tiga penjuru yang dimenangi calon BN, Annuar Musa dengan majoriti 4,625 undi.
Dalam pada itu, Muhyiddin menolak dakwan Pakatan Harapan bahawa beliau mengkhianati pengundi, merujuk Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan PH tumbang pada 2020.
“Dia (PH) boleh kata saya pengkhianat, tapi saya tidak mengkhianati bangsa dan negara.”
Sementara itu, Bernama melaporkan Muhyiddin mengumumkan “Prihatin, Bersih dan Stabil” sebagai slogan PN untuk PRU15.
PN terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Sabah Progressive Party (SAPP).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 19 Nov ini dan penamaan calon pada 5 Nov ini.