

Sahruddin Jamal menegaskan perkara tersebut di sebalik pergeseran antara PAS dan Bersatu, mutakhir ini.
“PN Johor tiada masalah. Kami akan bergerak bersama-sama,” katanya kepada FMT.
Presiden PAS Hadi Awang sebelum ini mengumumkan PAS akan menilai kerjasama dengan Bersatu, bersekali amaran bahawa kesabaran ‘ada batas’.
Pengumuman itu setelah PAS “mengkaji satu persatu tindakan Bersatu”, mengambil contoh situasi politik di Negeri Sembilan dan Perlis, serta pendirian berkenaan usaha membawa masuk parti tertentu ke dalam PN.
Pada PRN Johor yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari akan datang, PN serta Barisan Nasional dan Pakatan Harapan dijangka akan berebut 56 kerusi.
BN akan mempertahankan 40 kerusi, manakala PH 12 kerusi, PN tiga kerusi, dan Muda satu.
Sementara itu, Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru seluruh kepimpinan, jentera dan ahli-ahli parti komponen agar memberikan fokus sepenuhnya terhadap persiapan menghadapi PRN, dengan semangat kebersamaan, disiplin serta kesatuan tindakan.
Katanya, PN akan memasuki gelanggang dengan penuh tanggungjawab, matang dan profesional, serta meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
“Saya juga berharap seluruh jentera dapat mengelakkan sebarang bentuk provokasi melampau, politik kebencian dan perpecahan, sebaliknya menampilkan politik yang lebih tenang, berfakta dan berorientasikan solusi,” menurut kenyataan.