Tanding Gombak atau tak, tunggu esok, kata Amirudin

Tanding Gombak atau tak, tunggu esok, kata Amirudin

Menteri besar Selangor berkata beliau sedia dengan segala kemungkinan.

Amirudin Shari berkata jika dicalonkan di Parlimen Gombak, beliau akan berusaha memastikan PKR meneruskan kemenangan di kerusi itu sejak 2008.
PETALING JAYA:
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menyerahkan kepada pucuk pimpinan PKR untuk menentukan sama ada beliau akan dicalonkan di Parlimen Gombak untuk merampas kerusi itu daripada penyandangnya, Azmin Ali pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Naib presiden PKR dan ADUN Sungai Tua itu berkata, beliau bersedia dengan segala kemungkinan.

“Itu kena tunggulah pengumuman rasmi esok, saya tiada kuasa untuk mengumumkannya, tapi ada juga permintaan rakan-rakan, khususnya jentera parti dan sebagainya yang mahukan saya ke Parlimen Gombak.

“Insya Allah, kalau terpilih, kita akan buat sehabis baik untuk pastikan PKR meneruskan kemenangan di Parlimen Gombak sejak 2008,” katanya dipetik Harian Metro selepas Program Minum Petang Bersama Jentera PKR Parlimen Kangar sempena Jelajah Mega Harapan Perlis.

Pada 2018, bekas timbalan presiden PKR, Azmin ALi menang dengan majoriti 48,721 undi. Tetapi, beliau dipecat PKR pada Februari 2020 kerana didakwa mengkhianati parti dan kemudian menyertai Bersatu pada Ogos tahun sama.

Azmin sebelum ini dilaporkan akan mempertahankan kerusi Gombak yang dimenanginya selama tiga penggal.

Amirudin berkata, pelbagai kemungkinan boleh berlaku selagi belum tiba hari penamaan calon, termasuk pertimbangan semula dalam pemilihan calon.

Mengenai desas-desus Naib Presiden Amanah, Husam Musa dikatakan turut mengintai Parlimen Gombak, Amirudin berkata, ia adalah kerusi tradisi PKR sejak 2008.

“Sebelum itu, ia adalah kerusi PAS pada 1999 dan 2004, di mana Hatta Ramli pernah bertanding dan tewas di kerusi itu pada kedua-dua PRU berkenaan.

“Sehingga sekarang, kita (PKR) berjaya mengekalkan pencapaian cemerlang di Parlimen Gombak kerana pengundi kita setia dengan PKR dan kita akan pastikan jentera kita bekerja sebaik mungkin untuk dapatkan kepercayaan rakyat di kerusi Parlimen itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.