PRU15: PKR pertaruh doktor muda di Sungai Petani

PRU15: PKR pertaruh doktor muda di Sungai Petani

Mohammed Taufiq Johari turut melihat penambahan bilangan pengundi sekali ganda serta pengundi muda sebagai cabaran terbesar yang perlu dihadapi.

Mohammed Taufiq Johari berkata telah menerima surat makluman dari parti untuk bertanding di kerusi itu semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
PKR akan mempertaruhkan calon muda yang juga doktor berusia 26 tahun di Sungai Petani pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Mohammed Taufiq Johari, yang juga anak penyandang tiga penggal Parlimen berkenaan Johari Abdul berkata beliau telah menerima surat makluman dari parti untuk bertanding di kerusi itu semalam.

“Cuma pengumuman rasmi akan dibuat di Ampang,” katanya kepada FMT.

Taufiq yang juga ketua Pemuda PKR Kedah menafikan bapanya sengaja memberi laluan kepadanya untuk bertanding, sebaliknya “kekosongan” diisi selepas bekas pengerusi PKR Kedah itu memutuskan untuk tidak bertanding di peringkat parlimen pada PRU kali ini.

“Kebetulan dia nak berhenti jadi calon dan kerusi tu dibuka, kebetulan saya ketua Pemuda dan mencalonkan diri,” katanya sambil menambah Johari tetap ADUN Gurun.

Anak ke enam daripada lapan beradik itu turut berkata beliau mendapat pendedahan politik dari kecil kerana bapanya sering membawanya ketika kempen PRU.

Johari telah mempertahankan kerusi Sungai Petani selama tiga penggal sejak 2008. Pada PRU14, Johari mendapat 45,532 undi, menewaskan tiga calon lain dengan majoriti 21,569.

Taufiq merupakan graduan Universiti Islam Bandung dalam jurusan perubatan yang tamat pengajian pada 2020.

Beliau berpengalaman sebagai doktor pelatih di Hospital Al-Ihsan Bandung dan Hospital Dr Slamet, Garut Indonesia. Setelah pulang ke Malaysia, beliau berkhidmat di Klinik Al-Hadi di Sungai Petani.

“Saya adalah doktor perubatan. Sekarang dah dicalonkan jadi sudah sepenuhnya dalam politik, nak tumpu khidmat masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Taufiq turut melihat penambahan bilangan pengundi sekali ganda serta pengundi muda sebagai cabaran terbesar yang perlu dihadapi.

“Sekarang ramai anak muda yang tidak minat politik… kalau sembang politik dia tak minat, kita bagi alternatif lain (dekati bukan bawa isu politik),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.