Umno akan tanding di Kuantan, kata pemimpin MCA

Umno akan tanding di Kuantan, kata pemimpin MCA

Timbalan Pengerusi MCA, Ti Lian Ker berkata, partinya akan bertanding di tiga kerusi Parlimen lain di Pahang.

Ti Lian Ker berkata, beliau ditawarkan kerusi Parlimen Indera Mahkota, tetapi menolaknya untuk membantu calon MCA di Pahang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Umno akan bertanding di kerusi Parlimen Kuantan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), manakala MCA diberikan kerusi Parlimen Raub, Bentong dan Indera Mahkota, kata Timbalan Pengerusinya, Ti Lian Ker.

Beliau berkata, rundingan awal menunjukkan MCA akan bertanding di Kuantan.

“Tetapi, akhirnya diputuskan Umno patut bertanding di Kuantan, manakala MCA diberikan tiga kerusi Parlimen lain di negeri itu.

“Pada mulanya, Barisan Nasional bercadang membenarkan MCA bertanding di Bentong, tetapi selepas beberapa rundingan, dipersetujui kami mendapat tiga kerusi di Pahang,” katanya dalam kenyataan yang dipetik China Press.

MCA dan Umno bertanding di Parlimen Kuantan pada PRU 2013 dan 2018, tetapi kalah dalam dua PRU itu kepada calon PKR, Fuziah Salleh.

Pada 2008, MCA kehilangan kerusi itu, juga kepada Fuziah, selepas memenanginya dalam PRU 2004.

Mengenai kedudukannya, Ti berkata, beliau menolak tawaran bertanding di Parlimen Indera Mahkota.

“Tetapi, saya akan membantu Ketua MCA bahagian, Quek Tai Seong yang akan dicalonkan di sana.

“Walaupun saya tidak bertanding, saya tetap berdedikasi kepada parti. Saya akan melakukan yang terbaik untuk membantu parti memenangi tiga kerusi itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.