
Berikut adalah calon DAP yang akan bertanding di kerusi Parlimen:
- Chan Foong Hin – Kota Kinabalu
- Noorita Sual – Tenom
- Vivian Wong Shir Yee – Sandakan
- Liau Fui Fui – Batu Sapi
- Oscar Sia Yu Hock – Lahad Datu
- Henry Shim Chee On – Papar
- Grelydia Gillod – Keningau
Calon dikemukakan DAP adalah gabungan muka lama dan baharu dengan tiga daripadanya adalah penyandang kerusi Parlimen yang akan mempertahankan kawasan masing-masing.
Penyandang Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin akan mempertahankan kerusi itu yang dimenanginya pada 2018 manakala Vivian Wong dan Noorita Sual pula masing-masing akan mempertahankan kerusi Parlimen Sandakan dan Tenom.
DAP turut mencalonkan Grelydia Gillod, 32, di Keningau bagi berdepan jaguh politik Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Jeffrey Kitingan daripada STAR.
Jeffrey memenangi kerusi itu dengan majoriti 45 undi dalam pertarungan enam penjuru pada PRU lalu.
Selain itu, DAP turut mempertaruhkan Ketua Pemuda Lahad Datu, Oscar Sia Yu Hock, 34, bagi merebut kerusi Lahad Datu.
Parlimen Lahad Datu dimenangi calon Warisan, Mohamaddin Ketapi pada PRU lalu dengan majoriti 6,401 menewaskan calon Umno dan PAS.
Mohamaddin yang juga ADUN Segama meninggalkan Warisan untuk bersama Bersatu pada 2021 sebelum sekali membuat keputusan melompat parti untuk bersama Parti Bangsa Malaysia (PBM) tahun ini.
Liau Fui Fui pula diletakkan bertanding di kerusi Parlimen Batu Sapi yang kosong sejak 2020 selepas kematian penyandangnya daripada Warisan, Liew Vui Keong.
Liew yang merupakan bekas menteri hal ehwal undang-undang kerajaan Pakatan Harapan, memenangi kerusi itu pada 2018 dengan majoriti 4,619 undi.
Seorang lagi calon muka baharu dipertaruhkan DAP ialah Henry Shim Chee On di kerusi Parlimen Papar.