Pencalonan ditolak SPR, Peter akan fail bantahan di mahkamah

Pencalonan ditolak SPR, Peter akan fail bantahan di mahkamah

Bantahan akan difailkan di Mahkamah Tinggi Isnin ini bagi menentukan sama ada beliau layak bertanding di Parlimen Tenom.

Pencalonan Peter Anthony di kerusi Parlimen Tenom ditolak pegawai SPR pagi tadi kerana pernah disabitkan bersalah oleh mahkamah.
KOTA KINABALU:
Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Peter Anthony menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada beliau layak bertanding di Parlimen Tenom pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, beliau akan memfailkan bantahan di Mahkamah Tinggi pada Isnin ini dan laporan polis dibuat bagi meminta penjelasan mahkamah mengenai status kelayakannya sebagai calon PRU15.

Terdahulu, pencalonan Peter ditolak pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana pernah disabitkan bersalah oleh mahkamah.

Keputusan itu menyebabkan penyokongnya merusuh di luar pusat pencalonan, dengan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa melepaskan gas pemedih mata.

“Penghakiman bagi kes saya sebelum ini dibenarkan untuk ditangguhkan (bagi menunggu rayuan), maka ia bermakna saya tidak mempunyai apa-apa kesalahan pada masa ini.

“Semua dokumen itu telah saya serahkan kepada pegawai pengurus pilihan raya, namun mereka tidak terima perkara ini dan (melayan) saya seolah-olah penjenayah serta tidak layak bertanding,” katanya dalam sidang media di Tenom.

Mei lalu, Peter dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun, selepas didapati bersalah memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah untuk kontrak penyelenggaraan sistem.

Bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah itu juga didenda RM50,000.

Menurut laman sesawang SPR, individu yang disabitkan bersalah, dipenjara lebih setahun dan denda lebih RM2,000 serta tidak mendapat pengampunan, tidak layak bertanding di kerusi DUN dan Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.