
Muhyiddin, yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan presiden Bersatu, akan dicabar Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Razali Ibrahim (BN) dan Iskandar Shah yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH).
Senarai rasmi calon itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Bahagian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pagoh Muhammad Helmi Yakub di Pusat Konvensyen Tinggi (KPT) Hub Universiti Pagoh selepas proses penamaan calon tamat pada 10 pagi tadi.
Kira-kira 1,000 penyokong parti bertanding berkumpul di pekarangan kompleks itu sejak 9 pagi.
Terdahulu, Helmi mengumumkan ketiga-tiga calon layak bertanding dan berkata, Muhyiddin antara yang awal menghantar borang pencalonan, iaitu pada 9.03 pagi.
Ini disusuli Iskandar pada 9.08 pagi dan Razali pada 9.12 pagi.
Kerusi Parlimen Pagoh disandang Muhyiddin yang menang pada PRU14 dengan majoriti 6,927 undi, menewaskan calon PAS Ahmad Nawfal Mahfodz dan dan calon BN Ismail Mohamed.
Manakala Razali, yang juga bekas Ahli Parlimen Muar, menang tiga penggal berturut-turut pada PRU11, PRU12 dan PRU13, namun tewas pada PRU14 kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang ketika itu bertanding atas tiket PKR, dengan majoriti 6,953 undi.
Pagoh secara keseluruhannya mempunyai 69,939 pengundi.