Pengundi Shah Alam pilih calon, bukan parti, kata Afif

Pengundi Shah Alam pilih calon, bukan parti, kata Afif

Sentimen pengundi sebegitu membuatkan bekas ADUN Seberang Jaya itu yakin boleh mendapatkan majoriti pengundi di Shah Alam untuk memilihnya pada PRU15.

Calon PN untuk Parlimen Shah Alam Afif Bahardin berkata, beliau tidak gentar dengan hakikat bahawa PH menang besar di kawasan itu pada PRU lepas.
PETALING JAYA:
Majoriti di Shah Alam ialah pengundi “atas pagar” yang memilih calon, bukan atas ketaatan kepada mana-mana parti politik, kata calon Perikatan Nasional (PN) Dr Afif Bahardin.

Afif, bekas pemimpin PKR Pulau Pinang yang keluar parti untuk menyertai Bersatu pada 2020, berkata sentimen pengundi Shah Alam membuatkan beliau yakin boleh mendapatkan majoriti pengundi ini untuk menyokongnya pada pilihan raya umum (PRU15), 19 Nov.

Katanya, Khalid Samad memenangi kerusi Parlimen itu pada 2008 atas tiket PAS dan mempertahankannya pada 2013 atas tiket Pakatan Harapan (PH) kerana beliau ketika itu bersama Amanah.

Afif berkata, pada 1995, Salamon Selamat daripada Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi itu dengan majoriti besar 40,715, tetapi dalam PRU berikutnya pada 1999, Ezam Mohd Noor daripada PKR dikalahkan Hussien Ahmad (BN) dengan hanya 1,000 undi.

“Pengundi Shah Alam berpengetahuan luas. Jadi, saya tak gentar dengan hakikat bahawa PH menang besar di sini pada PRU lalu.

“Undi-undi boleh pergi kepada calon lain seperti yang terbukti daripada rekod prestasi pengundian di sini,” katanya kepada FMT.

Shah Alam akan menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Afif, Isham Jalil daripada BN, Azli Yusof (PH), dan Rafique Rashid Ali (Pejuang).

Pada usia 37 tahun, Afif merupakan calon termuda bertanding.

Pernah menjadi ADUN Seberang Jaya, Pulau Pinang sejak 2013, Afif menepis tuduhan pengkritik bahawa beliau lari dari Pulau Pinang untuk bertanding di ibu negeri Selangor.

“Ini bukan tentang mengelak kerusi lain. Shah Alam kampung halaman saya dan saya akan kembali untuk membawa perubahan di sini.

“Saya bangga dapat berkhidmat di Seberang Jaya selama 10 tahun tetapi sudah tiba masanya untuk saya kembali (ke Shah Alam),” katanya.

Afif berkata, beliau tidak segan dilihat sebagai penyokong setia bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali.

Katanya, Azmin seorang pemimpin contoh yang mengambil langkah tepat, berbanding pendekatan populis.

“Semasa wabak Covid-19 melanda, Azmin berasa sedih selepas dikecam hebat kerana membenarkan kilang dibuka semula.

“Tetapi, beliau melihat gambaran yang lebih besar dan tahu periuk nasi rakyat akan terjejas teruk jika sektor ekonomi terus ditutup. Jadi, beliau buat keputusan dan berpegang pada prinsipnya untuk melakukan perkara yang betul,” kata Afif mengenai mentornya itu.

Afif berkata, beliau juga maklum mengenai dakwaan bahawa Azmin, sebagai menteri hal ehwal ekonomi, telah memperkayakan mereka yang bekerja untuknya.

“Jika benar, saya tidak perlu bayar pinjaman bank lagi kerana saya akan jadi kaya. Namun hakikatnya, tiada seorang pun daripada kami di PN telah disiasat kerana disyaki terbabit rasuah. Kami bebas rasuah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.