
Ketua Polis Daerah Kemaman, Hanyan Ramlan berkata, kejadian berlaku ketika Muhammad Aman A Suhimi mandi bersama dua rakannya.
“Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman menerima panggilan pada 5.37 petang daripada MERS999 memaklumkan berlaku kejadian lemas di Kampung Batu 9 Ibok.
“Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, bapa mangsa, A Suhimi Salleh, 58, berkata jenazah anaknya ditemui pekebun di ladang kelapa sawit kira-kira 100m dari lokasi anaknya mandi sekitar 5.15 petang.
“Saya tidur selepas solat zohor. Kira-kira 3 petang, anak saya balik dari sekolah dan terus pergi main air (di alur sungai Kampung Batu 9) dengan kawan-kawan.
“Pagi itu, dia ada sukan di sekolah dan kemudian pada petang, kawannya datang (ke rumah) memberitahu Aman lemas,” katanya di Unit Forensik Hospital Kemaman malam tadi.
Beliau berkata, anaknya sering mandi di alur sungai itu bersama rakannya, namun semalam paras sungai meningkat kira-kira 2m susulan hujan.
Katanya, Aman yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik juga berkelakuan agak berbeza daripada kebiasaan sejak kebelakangan ini.
“Perangai anak saya memang berbeza sedikit, dia memang mahu saya bersama isteri pergi ke sekolah untuk melihat dia bersukan. Masa pergi ke sekolah itu (Sekolah Kebangsaan Ibok), memang dia suka, di sekolah pun hari ini (semalam), semua cikgu dia salam.”