Calon pilihan dicantas PN, lebih 60 ahli Bersatu Bagan Serai keluar parti

Calon pilihan dicantas PN, lebih 60 ahli Bersatu Bagan Serai keluar parti

Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Bagan Serai, Azizon Mohamad berkata mereka nekad kembali ke pangkuan Umno kerana kecewa PN memilih calon luar berbanding anak tempatan.

Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Bagan Serai, Azizon Mohamad Noor (dua dari kiri) bersama Ketua Bersatu Cawangan Kuala Gula, Mohammad Hassan (dia dari kanan) menerima borang menyertai Umno daripada Setiausaha Umno Selinsing, Zuhaidi Osman (tengah).
BAGAN SERAI:
Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Bagan Serai bersama lebih 60 ahli keluar parti, selepas Perikatan Nasional (PN) memilih calon luar bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Semanggol dan Selinsing.

Azizon Mohamad berkata, mereka nekad kembali ke pangkuan Umno dan menyokong calon Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Lebih lima tahun kami bekerja keras untuk menaikkan nama calon pilihan kami, namun mereka tidak tercalon kali ini.

“Oleh kerana nama calon kami dicantas pada saat akhir dan tidak bersetuju dengan calon baharu di kerusi Gunung Semanggol dan Selinsing, saya bersama ahli jawatankuasa (AJK) dari dua cawangan Bagan Serai bertindak keluar parti,” katanya ketika ditemui di Selinsing.

Beliau menegaskan tindakan itu tidak ditekan mana-mana pihak, sebaliknya disebabkan mereka hilang keyakinan terhadap Bersatu.

Azizon yang juga bekas Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) menjangkakan lebih ramai ahli Bersatu mengikut jejaknya dalam masa terdekat.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Bagan Serai, Sham Mat Sahat berkata, pihaknya tiada masalah menerima kemasukan kumpulan itu.

“Kalau mereka dah insaf, ingin kembali ke pangkal jalan, selepas melihat hala tuju PN yang belum nampak sinar ini, saya alu-alukan sebagai ketua bahagian untuk mereka kembali ke pangkuan Umno.”

Bagaimanapun, katanya, ia tidak menandakan Umno dan Barisan Nasional boleh menarik nafas lega kerana mereka perlu mempergiatkan kempen memenangi sokongan pengundi atas pagar dalam tempoh kempen berbaki seminggu.

“Tak bermakna kita harus hentikan gerak kerja yang telah kita susun kerana kita sudah nampak sokongan masyarakat Melayu, India dan Cina bertambah,” katanya.

Gunung Semanggol dan Selinsing antara tiga DUN di bawah Parlimen Bagan Serai, selain Alor Pongsu.

Sham dalam misi mempertahankan DUN Alor Pongsu buat penggal kelima pada 19 Nov ini.

Gunung Semanggol yang dimenangi calon PAS, Razman Zakaria pada PRU14 akan terus mempertahankan kerusi itu pada PRU15, manakala DUN Selinsing yang dimenangi Mohamad Noor Dawoo dari BN dicabar Salehuddin (PN) dan Saqif Ansorullah (PH).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.