Imigresen jangka kutip hasil lebih RM5 bilion tahun ini, kata Hamzah

Imigresen jangka kutip hasil lebih RM5 bilion tahun ini, kata Hamzah

Menteri dalam negeri sementara itu berkata, sehingga Rabu lalu, RM4.8 bilion berjaya dikutip, melebihi sasaran RM3.5 bilion tahun ini.

Hamzah Zainudin berkata, kutipan hasil Jabatan Imigresen itu akan dijana menerusi pelbagai program, termasuk Program Visa Premium. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kutipan hasil yang dijana Jabatan Imigresen melalui pelbagai program, termasuk Program Visa Premium (PVIP) Malaysia, dijangka melebihi RM5 bilion tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri sementara, Hamzah Zainudin.

Setakat Rabu lepas katanya, Jabatan Imigresen menjana kutipan hasil sebanyak RM4.8 bilion, melebihi sasaran tahun ini RM3.5 bilion.

“Kutipan hasil ini antaranya dijana daripada levi pekerjaan…kita jangka kutipan hasil lebih RM5 bilion kerana PVIP juga kita telah mulakan.

“Kempen PVIP giat dijalankan di luar negara…ia akan menarik individu berkelayakan datang ke negara untuk jana pendapatan,” katanya selepas melancarkan pas digital (ePASS) pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Imigresen di sini.

PVIP yang dilancarkan Hamzah pada 1 Sept lepas bertujuan menarik minat hartawan global melabur serta menetap di negara ini bagi tempoh 20 tahun.

Program berkonsepkan Residensi Melalui Pelaburan itu bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi, menjana pendapatan negara dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat.

Mengenai pelancaran ePASS hari ini, Hamzah berkata, ia merupakan pembaharuan perkhidmatan pas, iaitu pengeluaran dalam bentuk pas digital untuk pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di semua sektor.

“Pengeluaran ePASS ini bagi urusan lanjutan pas sedia ada, manakala pelekat PLKS masih digunakan untuk urusan pas pertama dan urusan lanjutan pas melibatkan pertukaran pasport baharu.”

Beliau berkata, pengeluaran ePASS dalam dua bentuk, iaitu format dokumen mudah (PDF) yang dimuat naik pengguna peranti digital dan dalam bentuk fizikal untuk dicetak dan dilampirkan bersama pasport.

“Proses ketulenan ePASS boleh dilaksana melalui portal Jabatan Imigresen dengan mengimbas kod QR pada ePASS,” katanya sambil menambah permohonan ePASS adalah melalui portal rasmi Jabatan Imigresen.

Menurut Hamzah, sebanyak 57,167 ePASS dikeluarkan sejak perkhidmatan itu ditawarkan 6 Sept lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.