16 Dis keputusan kes saman RM100 juta keluarga Altantuya

16 Dis keputusan kes saman RM100 juta keluarga Altantuya

Keluarga model itu memfailkan tuntutan saman pada 4 Jun 2007 yang mendakwa kematiannya menyebabkan mereka mengalami trauma mental dan psikologi.

Altantuya Shaariibuu dibunuh pada 2006.
SHAH ALAM:
Mahkamah Tinggi menetapkan 16 Dis depan bagi keputusan kes saman RM100 juta difailkan keluarga model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, berhubung kematian wanita itu pada 2006.

Peguam keluarga model berkenaan, Sangeet Kaur Deo ketika dihubungi Bernama berkata, Vazeer Alam Mydin Meera, yang kini hakim Mahkamah Rayuan akan menyampaikan keputusan itu pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian (Zoom).

“Keputusan itu sepatutnya diputuskan pada 19 Okt lepas, namun mahkamah menangguhkannya. Tarikh baharu ditetapkan pada 16 Dis ini,” katanya.

Bapa mendiang, Shaariibuu Setev, ibunya Altantsetseg Sanjaa serta dua anak lelaki Altantuya iaitu Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan tuntutan saman pada 4 Jun 2007 yang mendakwa kematian model itu menyebabkan mereka mengalami trauma mental dan psikologi, melayakkan mereka dibayar pampasan serta mendapat ganti rugi teladan dan teruk.

Mereka menamakan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, penganalisis politik Abdul Razak Baginda dan kerajaan sebagai defendan.

Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga kemudian dikeluarkan daripada senarai plaintif apabila dia meninggal dunia pada 2017.

Seramai 26 saksi plaintif termasuk bapa serta anak sulung Altantuya memberi keterangan dalam perbicaraan itu yang bermula pada 2019 manakala defendan iaitu kerajaan mengemukakan tiga saksi dan Abdul Razak memilih untuk tidak memberi keterangan bagi menjawab tuntutan saman itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.