2 prof tarik diri sokong Anwar jadi PM

2 prof tarik diri sokong Anwar jadi PM

Dua bekas ahli akademik adalah Ishak Yussof dan Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi.

Kumpulan 70 profesor Melayu percaya Presiden PKR, Anwar Ibrahim mampu memimpin masyarakat pelbagai kaum. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dua bekas ahli akademik dilaporkan menarik diri daripada senarai penyokong deklarasi untuk Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Sinar Harian melaporkan, dua bekas ahli akademik itu adalah Ishak Yussof dan Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi.

Koordinator G70 Profesor Melayu, Saadiah Mohamad berkata, nama kedua-duanya sebelum ini tersenarai dalam dokumen deklarasi berkenaan yang diumumkan semalam.

“G70 Profesor Melayu mengeluarkan nama mereka dalam senarai nama pendukung Deklarasi 70 Profesor Melayu.

“Senarai terkini boleh disemak di laman sesawang: http://g70prof.com,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, G70 Profesor Melayu menerima sambutan baik daripada masyarakat terhadap pendirian menyokong Anwar sebagai calon perdana menteri.

“Seluruh rakyat Malaysia perlu memanfaatkan ruang PRU15 untuk memilih kerajaan yang berwibawa dan berintegriti di bawah kepemimpinan Anwar,” katanya.

Semalam, media melaporkan Kumpulan 70 profesor Melayu dikenali sebagai G70 menyokong Anwar sebagai calon perdana menteri berdasarkan kredibiliti dan rekod prestasinya yang cemerlang.

Jurucakap Deklarasi Profesor Melayu G70, Wan Ramli Wan Daud berkata, Anwar adalah satu-satunya tokoh dengan kewibawaan dan pengalaman serta integriti yang mampu memimpin masyarakat majmuk.

Terdahulu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, pendirian G70 itu tidak mewakili Majlis Profesor Negara (MPN).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.