Polis Melaka rampas syabu bernilai lebih RM800,000

Polis Melaka rampas syabu bernilai lebih RM800,000

Ketua Polis Melaka, Zainol Samah berkata, suspek berusia 50 tahun dipercayai menjadi `transporter' (pengangkut) dadah berkenaan.

Ketua Polis Melaka, Zainol Samah berkata, syabu seberat 23.10kg itu ditemui di dalam kereta jenis Proton Saga BLM yang dipandu suspek. (Gambar Facebook)
MELAKA:
Polis Melaka menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah ke luar negara selepas menahan seorang lelaki dan merampas syabu bernilai RM834,768 dalam satu serbuan di kawasan Pulau Melaka di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Melaka, Zainol Samah berkata suspek berumur 50 tahun itu ditahan di tepi jalan di kawasan berkenaan pada 12.10 tengah malam oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Batalion ke-6 Pasukan Gerakan Am (PGA6), Johor.

“Hasil pemeriksaan menemukan dadah jenis syabu seberat 23.10kg di dalam sebuah kereta jenis Proton Saga BLM yang dipandu suspek, dipercayai bertindak sebagai `transporter’ (pengangkut).

“Syabu berkenaan ditemukan di dalam 22 bungkusan berwarna kuning yang diisi di dalam tiga beg di dalam kenderaan terbabit,” katanya pada sidang akhbar di IPK Melaka, Ayer Keroh di sini hari ini.

Zainol berkata serbuan dilakukan hasil risikan dijalankan polis sejak sebulan lepas dan disyaki bekalan dadah itu dibawa dari Lembah Klang.

Beliau berkata suspek dipercayai melakukan kegiatan terbabit kali pertama dan semua dadah jenis syabu itu untuk pasaran luar negara.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing ke atas lelaki itu juga adalah negatif dan semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau berkaitan Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 29 Nov untuk siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.