‘PAS tak ada duit’, Sanusi nafi dakwaan beri wang kepada pengundi

‘PAS tak ada duit’, Sanusi nafi dakwaan beri wang kepada pengundi

Pengarah pilihan raya PAS itu berkata, pada musim PRU15, bermacam-macam kempen dibuat oleh pihak lawan untuk memburukkan partinya.

Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Md Nor percaya video-video yang tular di media sosial mengenai partinya pada musim PRU15 ‘sengaja direka oleh musuh politik’.
PETALING JAYA:
Sanusi Md Nor berkata, PAS tidak mempunyai sebegitu banyak wang untuk diagih-agihkan kepada orang ramai, seperti didakwa menerusi video tular menunjukkan sekumpulan pengundi menunggu pemberian wang daripada parti itu.

Pengarah pilihan raya PAS itu berkata, pada musim pilihan raya umum ke-15 (PRU15), bermacam-macam kempen dibuat oleh pihak lawan untuk memburukkan partinya.

“Kita PAS tak ada duit nak bagi begitu kepada orang ramai macam itu,” katanya menurut Malaysiakini.

“Saya percaya video-video tular itu sengaja direka oleh musuh politik. (Ia) satu kesalahan pilihan raya, sengaja dibuat video yang mengundang risiko.”

Terdahulu, tular sebuah video di media sosial yang menunjukkan sekumpulan individu didakwa sedang menunggu di hadapan sebuah premis untuk menerima wang yang ditawarkan PAS bagi pengundi yang balik mengundi.

Terdapat juga klip video lain yang disebarkan kononnya keluhan bahawa jumlah wang yang diterima bukan seperti yang dijanjikan.

Pada PRU15 Sabtu lepas, PAS menang sejumlah 49 kerusi Parlimen, termasuk menyapu bersih semua kerusi di Kelantan dan Terengganu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.