Tidak ada sebarang perhimpunan, kata Rafizi selepas Anwar diumum PM

Tidak ada sebarang perhimpunan, kata Rafizi selepas Anwar diumum PM

Rafizi Ramli menyeru ahli PKR, PH dan rakan-rakan politik menghormati keperluan mendesak untuk meredakan keadaan.

Tidak ada sebarang perhimpunan oleh mana-mana pihak untuk mengelakkan risiko provokasi, kata Rafizi Ramli.
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menasihatkan agar tidak ada sebarang perhimpunan diadakan, selepas Anwar Ibrahim diumum perdana menteri ke-10.

“Saya menyeru supaya semua rakyat Malaysia, terutamanya penyokong dan anggota PKR, PH dan rakan-rakan politik menghormati keperluan mendesak untuk meredakan keadaan.” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menasihati penyokong supaya berhati-hati dengan kenyataan media yang dikeluarkan oleh pemimpin politik lain.

“Berhati-hati dengan sebarang kandungan atau mesej di media sosial yang boleh menimbulkan kebimbangan atau dijadikan alasan untuk provokasi.

“Kita semua mesti bergerak ke hadapan dan belajar bekerjasama untuk membina semula Malaysia demi masa depan dan kemakmuran setiap rakyat Malaysia,” katanya.

Rafizi menegaskan, pemimpin PH dan PKR tidak mengeluarkan sebarang kenyataan untuk membentuk kerajaan perpaduan, memandangkan keputusan pilihan raya telah keluar.

Beliau menggesa rakyat Malaysia, penyokong PH dan rakan politik mereka supaya menghormati “keperluan terdesak” untuk memastikan keharmonian ketika ini.

Terdahulu, Istana Negara mengesahkan Anwar akan dilantik sebagai perdana menteri ke-10. Beliau akan mengangkat sumpah 5 petang hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.