10 disyaki ejen bookie judi Piala Dunia Qatar ditahan

10 disyaki ejen bookie judi Piala Dunia Qatar ditahan

Polis berkata nilai had kredit pertaruhan melebihi RM1 juta setakat ini.

Polis berkata semua suspek berumur 22 hingga 43 tahun direman dua hingga empat hari bermula hari ini.
JOHOR BAHRU:
Polis Johor menahan 10 lelaki tempatan disyaki terlibat dengan kegiatan perjudian bola sepak sempena Piala Dunia Qatar 2022 menerusi Op Soga IX di seluruh Johor bermula Isnin hingga semalam.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat, berkata semua yang ditahan itu berumur 22 hingga 43 tahun, juga dipercayai bertindak sebagai ejen bookie pertaruhan.

Sehingga kini, katanya, nilai had kredit pertaruhan melebihi RM1 juta.

“Turut dirampas wang tunai berjumlah RM9,730 dan 10 telefon bimbit pelbagai jenis, termasuk kad sim serta sebuah buku memo pad yang mempunyai catatan disyaki pertaruhan kejohanan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, semua suspek direman dua hingga empat hari bermula hari ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM200,000 dan penjara tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan.”

Katanya, mereka turut disiasat di bawah Seksyen 6(1) dan 4(1)(D) Akta Pertaruhan 1953.

“Kejayaan operasi ini sebahagian besarnya hasil daripada risikan yang dijalankan polis Johor dan aduan serta maklumat yang diterima daripada orang awam.”

Beliau turut menyeru semua pihak menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan perjudian ke balai polis berhampiran atau bilik gerakan polis Johor menerusi 07-221 2999 atau 07-225 4677.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.