Kedah yakin tak dipinggir kerajaan pusat

Kedah yakin tak dipinggir kerajaan pusat

Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor percaya landskap politik semasa ‘tidak mengizinkan’ kerajaan persekutuan meminggirkan kerajaan negeri.

Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor berkata demokrasi kini sudah tidak mengizinkan kerajaan persekutuan meminggirkan kerajaan negeri.
PETALING JAYA:
Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor percaya negeri itu tidak akan dipinggirkan oleh kerajaan persekutuan walaupun Perikatan Nasional (PN) menjadi pembangkang di peringkat Pusat.

Katanya, landskap politik semasa dan sistem demokrasi diamalkan di negara ini “tidak mengizinkan” kerajaan persekutuan meminggirkan kerajaan negeri.

“Semua negeri ada hak yang sama, persekutuan dan negeri akan terus menjalinkan kerjasama bawah sistem itu, saya rasa tidak ada masalah apa, sikit pun tidak ada masalah.

“Saya rasa dunia politik, demokrasi sekarang sudah tidak mengizinkan perkara seperti itu (kerajaan persekutuan meminggirkan kerajaan negeri), kalau gagah pi dok buat juga, cari nahas,” katanya menurut Bernama.

Sanusi berkata demikian ketika ditanya harapan Kedah terhadap kerajaan perpaduan diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim di peringkat persekutuan.

Semalam, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu kekal dengan pendirian tidak menyertai kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH) dan mahu menjadi pembangkang berwibawa di Parlimen.

Mengulas pilihan raya Parlimen Padang Serai, Sanusi berkata walaupun perdana menteri sudah dilantik, pilihan raya itu dilihat masih penting dalam menentukan sokongan pengundi dan pihaknya yakin PN akan beroleh kemenangan mudah di situ.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.