Tian Chua perjelas kenapa Zahid perlu ada dalam Kabinet Anwar

Tian Chua perjelas kenapa Zahid perlu ada dalam Kabinet Anwar

Bekas naib presiden PKR berkata Ahmad Zahid Hamidi boleh memainkan peranan penting dalam menstabilkan kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim.

Tian Chua berkata Ahmad Zahid Hamidi memainkan peranan penting dalam membolehkan BN bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim. (Gambar JPN)
PETALING JAYA:
Walaupun ada desakan supaya Ahmad Zahid Hamidi diketepikan daripada dilantik dalam Jemaah Menteri, presiden Umno itu boleh memainkan peranan penting dalam menstabilkan kerajaan Anwar Ibrahim, kata bekas naib presiden PKR Tian Chua.

Tian Chua berkata, Zahid memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan perpaduan, yang akhirnya menyaksikan Barisan Nasional (BN) bersetuju bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), sebelum gabungan dan parti lain menyusuli selepas itu.

Beliau menegaskan terdapat tentangan kuat dari dalam BN terhadap kerjasama dengan PH, tetapi Zahid kekal dengan pendiriannya.

“Pemimpin PH dan BN perlu membina kepercayaan dan keyakinan antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan. “Tidak dinafikan, masih terdapat keraguan dalam BN, khususnya Umno. Tetapi Zahid telah menunjukkan keupayaannya untuk menyatukan BN ke dalam pendirian bersama untuk bekerjasama dengan PH.

“Pengalaman Zahid dalam kerajaan adalah satu kelebihan dan beliau boleh melengkapi menteri PH yang tidak berpengalaman. Beliau juga boleh menjadi pengantara antara PH dan perkhidmatan awam dan segmen konservatif kerajaan.

“Zahid juga boleh berperanan dalam menghubungkan parti komponen lain dalam gabungan besar itu, seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).”

Tian Chua, bekas Ahli Parlimen Batu, berkata mengetepikan Zahid dan “kluster mahkamah” daripada Jemaah Menteri bukan secara automatiknya bermaksud kerajaan terus menjadi bersih.

Katanya, pentadbiran sebelum ini juga tidak mempunyai menteri atau timbalan menteri yang berdepan kes mahkamah, namun dakwaan berlakunya rundingan terus dan pilih kasih dalam perolehan tetap menjadi isu.

Beliau menegaskan bahawa penyertaan Zahid dalam Jemaah Menteri tidak sepatutnya bermaksud beliau kebal daripada pendakwaan.

“Prosiding perbicaraan harus diteruskan dan Zahid mesti membuktikan beliau tidak bersalah di mahkamah,” katanya.

Tian Chua juga berkata, jika BN mencalonkan Zahid untuk jawatan dalam Jemaah Menteri, ia bukan bergantung kepada PH untuk menolaknya, sambil menyifatkan ini adalah sebahagian daripada prinsip kerjasama dan tanggungjawab kolektif.

“Jika kita mahu serius mengenai (membasmi) rasuah, kita memerlukan pembaharuan yang sebenar untuk merombak secara sistematik institusi pemerintahan kita.

“Untuk melaksanakan pembaharuan menyeluruh, kita memerlukan kerajaan yang kuat dan berkesan. Mujurlah PH menikmati permulaan yang baik. Bagaimanapun, PH tidak mampu untuk bercanggah dengan BN pada peringkat awal ini. Kerjasama antara Anwar dan Zahid adalah sangat penting.”

Semalam, Anwar memberitahu wartawan beliau akan “mengambil kira semua pandangan”, ketika ditanya mengenai desakan supaya Ahli Parlimen yang berdepan kes mahkamah tidak dilantik dalam Jemaah Menteri.

Pengerusi PH itu menyatakan bawah undang-undang, seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

NGO dan pemimpin seperti bekas menteri Rafidah Aziz menggesa Anwar tidak melantik ahli politik yang berdepan kes mahkamah sebagai menteri, sambil berkata ia akan mencalar imej negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.