Selangor cadang baju batik dibenar ketika sidang DUN

Selangor cadang baju batik dibenar ketika sidang DUN

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata ia sebagai salah satu usaha mempromosikan Batik Selangor dengan menampilkan rekaan bermotifkan corak bunga tanjung.

Menteri Besar, Selangor Amirudin Shari (dua dari kiri) di pelancaran Batik Selangor hari ini. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Kerajaan Selangor bercadang untuk membenarkan pemakaian Batik Selangor bermotifkan bunga tanjung dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti yang dilaksanakan di peringkat Parlimen.

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata ia antara usaha mempromosikan Batik Selangor dengan menampilkan rekaan bermotifkan corak bunga tanjung yang menjadi identiti negeri itu.

Menurutnya, baju batik itu akan dipakai barisan exco, ADUN dan penjawat awam negeri bermula esok.

“Ini juga mungkin dipakai pada waktu-waktu tertentu seperti dalam sidang DUN seperti di Parlimen, tetapi DUN masih lagi tidak menukar peraturan.

“Jadi kalau kita tukar peraturan untuk benarkan penggunaan batik, maknanya kita boleh gunakan pakaian tersebut,” katanya selepas Majlis Pelancaran Batik Selangor untuk penjawat awam, di sini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, pemakaian baju batik bercorak bunga tanjung itu akan diperluaskan ke peringkat akar umbi, termasuk dalam kalangan ketua kampung pada masa akan datang.

Beliau percaya pemilihan motif bunga itu mempunyai karakter unik, bersifat menyeluruh, berkecuali dan tidak berkait mana-mana parti politik bagi membolehkan semua pihak menggunakan corak tersebut.

“Saya percaya motif ini akan digemari dan digunakan pada sambutan atau pakaian rasmi dan semi kasual yang ada dalam kehidupan seharian.

“Kita juga perlu adakan promosi dan pembudayaan kerana ia bukan setakat aspek kesenian, tapi pembudayaan, iaitu dikenakan, dipakai dan digunakan sebagai karakter dan watak untuk Selangor,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan negeri, Borhan Aman Shah berkata, pemilihan motif bunga tanjung hasil penyelidikan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT).

Susulan itu, katanya, PADAT bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Selangor bagi membangunkan cadangan reka bentuk Batik Selangor menggunakan bunga itu sebagai motif utama penghasilan fesyen berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.