Anwar tak akan jadi seperti Najib, kata Rafizi mengenai PM pegang portfolio kewangan

Anwar tak akan jadi seperti Najib, kata Rafizi mengenai PM pegang portfolio kewangan

Timbalan presiden PKR itu berkata beliau yakin kerana perdana menteri mempunyai mempunyai perwatakan dan didikan yang berbeza.

Rafizi Ramli menyindir bahawa tidak ada lagi wang dalam kerajaan untuk ‘dicuri’. (Gambar Bernama)
KULIM:
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yakin Anwar Ibrahim tidak akan menjadi menteri kewangan seperti bekas perdana menteri Najib Razak selepas beliau mengambil alih portfolio kewangan.

Rafizi berkata dirinya yakin perdana menteri itu tidak akan menjadi seperti Najib kerana beliau mempunyai perwatakan dan didikan yang berbeza.

“Yang kedua saya tak rasa yang ada menteri yang yang boleh ‘sakau’ duit macam dulu. Saya tak rasa. Sebab apa ? Kerana duit sudah tidak ada,” katanya pada ceramah kempen calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Padang Serai, Sofee Razak, malam tadi.

“Yang tu yang saya bimbang dengan rambut atas kepala saya ni. Lepas ni lama-lama kena pakai kopiah tutup botak. Sebab duit sudah tidak ada.

“Tanggungjawab menteri kewangan dan menteri ekonomi macam saya menggaru kepala macam mana kita nak kembangkan ekonomi supaya kita ada cukup (wang) untuk bantu rakyat.”

Rafizi juga menggesa agar agensi kerajaan yang mempunyai rekod buruk dan boleh dipersoalkan, dapat dikaji semula, dan individu yang jujur, amanah dan berani dilantik untuk memimpin mereka.

Beliau juga berkata adalah penting badan kehakiman, pendakwa raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan peranan mereka berdasarkan undang-undang dan tidak mengikut apa yang diperkatakan oleh menteri.

Anwar mendapat kritikan banyak pihak kerana melantik dirinya sebagai menteri kewangan, yang bertentangan dengan manifesto PH pada pilihan raya umum ke-14, yang mengatakan bahawa seorang perdana menteri tidak sepatutnya memegang jawatan menteri kewangan berikutan skandal 1MDB yang berlaku ketika Najib memegang kedua-dua jawatan.

Semalam, selepas memulakan tugasnya di Putrajaya, Rafizi pada sidang media memberitahu bahawa “keadaan luar biasa” yang menyebabkan Anwar mengambil alih jawatan menteri kewangan.

Katanya, Anwar mengambil peranan itu untuk mengelakkan konflik dalam kalangan parti yang membentuk kerajaan perpaduan.

Beliau berkata setiap parti komponen dalam kerajaan perpaduan mahukan jawatan menteri kewangan, “jadi masuk akal buat masa ini untuk perdana menteri mengambil peranan untuk mengelakkan konflik”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.