
Azalina berkata pasukan khas ditubuhkan untuk membuat kajian serta memberi cadangan membabitkan reformasi institusi bagi dibentangkan kepada Jemaah Menteri, lapor Berita Harian.
“Bagi memperluaskan pembabitan pasukan ini, mereka akan mengadakan libat urus dengan masyarakat awam dan pihak berkaitan yang mana mereka boleh menyerahkan cadangan terus kepada kami.
“Kami juga akan meneruskan usaha pentadbiran sebelum ini untuk mengusahakan pemansuhan hukuman mati mandatori dan digantikan dengan hukuman alternatif yang sesuai,” katanya.
Azalina berkata, beliau juga akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri penubuhan suruhanjaya undang-undang yang bebas daripada Jabatan Peguam Negara.
“Suruhanjaya bebas ini akan membolehkan mereka membabitkan diri spektrum yang lebih luas, bukan sahaja dalam bidang perundangan malah dalam kalangan ahli sosiologi, saintis dan komuniti perniagaan untuk mencadangkan pembaharuan kepada undang-undang yang diperlukan,” katanya.
Tambah Azlina, kerajaan juga berhasrat memperkasakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menerusi pindaan Akta SUHAKAM 1999 dengan memperluaskan lagi fungsi dan kuasa suruhanjaya itu.
Menurutnya, ia bagi memberi Suhakam kekuatan institusi yang diperlukan bagi mempromosi dan memartabatkan hak asasi Manusia di Malaysia dengan lebih berkesan.
“Ini termasuk melantik individu dari pelbagai latar belakang dengan pengalaman dan pengetahuan sesuai dalam hak asasi manusia ke dalam Suhakam malah, semakan lanjut juga akan dibuat mengenai pengaturan pembiayaan kepada suruhanjaya ini untuk memastikan kebebasan Suhakam dapat dipelihara.
“Dengan keyakinan, kerjasama dan sokongan anda, kami akan berusaha untuk memastikan kerajaan perpaduan ini akan komited untuk bertindak mengikut cadangan yang diberikan oleh Suhakam,” katanya.