Malaysia catat 15 hukuman mati pada 2025

Malaysia catat 15 hukuman mati pada 2025

Tetapi, Amnesty International Malaysia berkata tanpa pemansuhan sepenuhnya, Malaysia masih tergolong minoriti negara mengekalkan hukuman mati.

Setakat November 2025, 97 tahanan masih menunggu pelaksanaan hukuman mati, jumlah terendah pernah direkodkan di Malaysia. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Reformasi kehakiman Malaysia menyaksikan hanya 15 hukuman mati baharu direkodkan sepanjang 2025, tetapi Amnesty International Malaysia menegaskan pemansuhan penuh masih jauh daripada matlamatnya.

Kumpulan hak asasi itu berkata, mahkamah di Malaysia menjatuhkan 15 hukuman mati tahun lalu berbanding 24 pada 2024 dan 38 pada 2023 susulan pemansuhan hukuman mati mandatori.

Pegawai komunikasi Amnesty International Malaysia, Divya Shesshsan Balakrishnan, berkata pembaharuan itu menunjukkan perubahan dalam sistem keadilan boleh berlaku, tetapi memberi amaran undang-undang negara masih membenarkan mahkamah menjatuhkan hukuman mati.

“Malaysia menunjukkan petanda kukuh beralih daripada hukuman mati. Semakin sedikit individu dijatuhkan hukuman mati dan itu penting.

“Tetapi, tanpa pemansuhan sepenuhnya, Malaysia masih dalam kelompok kecil negara yang mengekalkan hukuman mati – hukuman yang tidak adil dan tidak boleh dipulihkan,” katanya pada sidang media sempena pelancaran Laporan Global Hukuman Mati dan Pelaksanaan 2025 oleh kumpulan itu.

Statistik rasmi dipetik Amnesty International menunjukkan Mahkamah Rayuan di Malaysia menukar 42 hukuman mati tahun lalu, termasuk 24 kes berkaitan kesalahan dadah, dengan empat individu dibebaskan.

Setakat November 2025, 97 tahanan masih menunggu hukuman mati, jumlah terendah pernah direkodkan di Malaysia.

Terus pantau hukuman

Peguam Ngeow Chow Ying berkata, moratorium ke atas hukuman mati mandatori membolehkan hakim menilai keadaan lebih luas di sebalik kesalahan, yang dapat membantu mengurangkan jumlah hukuman mati dijatuhkan.

“Keupayaan melihat faktor luaran jenayah membolehkan hakim memilih hukuman penjara 30 hingga 40 tahun bagi menggantikan hukuman mati.”

Tetapi, tegasnya, kuasa budi bicara kehakiman perlu dipantau bagi mengelakkan ketidakseragaman dalam hukuman.

Walaupun jumlah hukuman mati baharu berkurangan, Amnesty International berkata, kesalahan berkaitan dadah terus menyumbang hampir separuh daripada semua hukuman mati baharu yang dijatuhkan pada 2025, dengan tujuh daripada 15 kes direkodkan.

Wakil daripada Keluarga Kasih berkata, kes hukuman mati berkaitan dadah sering membawa kesan yang menghancurkan seluruh keluarga, meninggalkan stigma sosial jangka panjang dan menjejaskan mata pencarian.

Skala global

Di Asia Tenggara, Amnesty berkata, pelaksanaan hukuman mati masih tertumpu di Singapura dan Vietnam.

Menurutnya, jumlah pelaksanaan hukuman mati di Singapura meningkat hampir sekali ganda tahun lalu, termasuk kesalahan berkaitan dadah, dengan lima rakyat Malaysia antara yang dihukum mati, termasuk P Pannir Selvam pada 2025.

Chow berkata, Malaysia perlu mengambil tanggungjawab lebih besar terhadap rakyatnya yang dijatuhkan hukuman mati di luar negara melalui libat urus dengan Singapura, bukannya membiarkan waris mencari jalan sendiri melalui tindakan undang-undang, termasuk di mahkamah antarabangsa.

Amnesty melaporkan pelaksanaan hukuman mati di seluruh dunia meningkat sebanyak 78% tahun lalu kepada sekurang-kurangnya 2,707 kes di 17 negara, jumlah tertinggi pernah direkodkannya sejak 1981.

Tetapi, Amnesty mendapati kebanyakan negara tidak lagi melaksanakan hukuman mati, di mana 113 negara memansuhkan sepenuhnya dan lebih dua pertiga bersifat ‘abolitionist’, sama ada dari segi undang-undang atau amalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.