
Menurut biografi di laman sesawang Public Bank, Teh dilahirkan di Singapura pada 14 Mac 1930 dan mendiang mendapat pendidikan formal di sebuah sekolah methodist di Singapura.
Mendiang mendirikan rumah tangga dengan Tay Sock Noy sejak 1956 dan dikurniakan empat cahaya mata.
Public Bank dalam satu kenyataan berkata, pemergian Teh adalah satu kehilangan besar bagi Kumpulan Public Bank.
Teh mengasaskan bank itu pada 1965 ketika berusia 35 tahun dan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan pengarah urusan sejak ia mula beroperasi pada 6 Ogos 1966.
Mendiang bersara sebagai pengerusi bukan eksekutif Public Bank pada 2018 dan dilantik sebagai pengerusi emeritus serta penasihat kumpulan itu pada 2019.
Menurut laporan The Star saham syarikat itu jatuh 4 sen kepada RM4.36 susulan kematian Teh. Public Bank ketika ini adalah syarikat kedua terbesar tersenarai di Bursa Malaysia dengan pasaran pemodalan RM85 bilion.