Rewcastle Brown mohon peguam negara gugur tuduhan fitnah jenayah

Rewcastle Brown mohon peguam negara gugur tuduhan fitnah jenayah

Pengarang Sarawak Report itu menyatakan Mahkamah Tinggi sudah menolak saman fitnah difailkan Sultanah Terengganu Nur Zahirah terhadapnya dan tiga yang lain.

Saman fitnah RM300 juta dikemukakan Sultanah Nur Zahirah terhadap Clare Rewcastle Brown ditolak Mahkamah Tinggi, pada Oktober.
KUALA LUMPUR:
Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, akan menghantar representasi kepada peguam negara bagi memohon tuduhan jenayah fitnah dihadapi digugurkan.

Peguam Guok Ngek Seng, berkata langkah itu susulan penolakan Mahkamah Tinggi berhubung saman fitnah RM300 juta difailkan Sultanah Terengganu Nur Zahirah
terhadap wartawan British itu, penerbit Gerakbudaya Enterprise dan Chong Ton Sin, selain syarikat percetakan, Vinlin Press Sdn Bhd.

Pesuruhjaya Kehakiman Lee Kien How @ Johan Abdullah, pada 31 Okt memutuskan kenyataan yang dipertikaikan itu dalam buku berjudul, “The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose”, yang menjadi subjek kepada saman, tidak mengandungi fitnah terhadap Sultanah.

“Kami akan menghantar representasi secepat mungkin memandangkan Mahkamah Tinggi sudah menolak saman itu atas imbangan kebarangkalian, yang merupakan standard pembuktian yang lebih rendah,” Guok memberitahu FMT.

Standard pembuktian melampaui keraguan munasabah diperlukan dalam prosiding jenayah, yang mana lebih tinggi daripada standard ditetapkan bagi tindakan sivil.

Guok berkata, beliau sudah memaklumkan kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas mengenai niatnya untuk mengemukakan representasi bagi pihak Rewcastle Brown, ketika pengurusan kes, hari ini.

Pada September, Rewcastle Brown dituduh secara ‘in absentia’ (tanpa kehadiran tertuduh di mahkamah) kerana memfitnah Sultanah dalam buku berkenaan yang dikeluarkan di Malaysia, empat tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Haslinda Che Seman, memaklumkan kepada Nicholas kes sudah dijadual bermula di Kuala Terengganu, bulan depan.

Pada Oktober, Rewcastle Brown memohon kes terbabit dipindahkan dari mahkamah majistret Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur, bagaimanapun ia ditolak.

Permohonan dijadual didengar, hari ini, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Zaini Mazlan, namun pendengaran ditangguh susulan Haslinda yang mengendalikan kes cuti sakit.

Mahkamah menetapkan pendengaran, pada 2 Feb.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.