Beberapa lagi kawasan di Pahang diramal banjir mulai malam esok

Beberapa lagi kawasan di Pahang diramal banjir mulai malam esok

Kawasan dijangka banjir mulai 8 malam esok ialah Kampung Beralas, Kg Gading, Jeram Bungor dan kawasan sekitar, serta Kg Merting, Kuala Tahan dan kawasan sekitar.

Kawasan dijangka banjir mulai 8 malam esok ialah Kampung Beralas, Kg Gading, Jeram Bungor dan kawasan sekitar, serta Kg Merting, Kuala Tahan dan kawasan sekitar. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Beberapa lagi kawasan di Pahang diramal berlaku banjir mulai malam esok atau lebih awal berdasarkan simulasi model ramalan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

JPS dalam kenyataan berkata kawasan dijangka banjir mulai 8 malam esok ialah Kampung Beralas, Kg Gading, Jeram Bungor dan kawasan sekitar, serta Kg Merting, Kuala Tahan dan kawasan sekitar.

Sementara di Kg Seberang Guai, Jalan Kg Durian, Kg Bukit Imam Sulong dan kawasan sekitar, serta Kg Besol, Paya Gintong, Kg Batu Kawah, Kg Perian, Kg Jeransang, Kg Tanjung Betung, Kg Rial, Kg Tanah Nyior, Kg Teh, Kg Jerantut Feri dan kawasan sekitar, mulai 8 pagi Isnin ini.

Setakat pagi tadi, mangsa banjir di Pahang kekal 141 orang daripada 36 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) SK Sinar Mutiara di Sungai Miang, Pekan.

Selain itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat berterusan berlaku di Kelantan dan Terengganu bermula hari ini hingga Selasa.

Menurut ramalan cuaca yang dikeluarkan pada 1 tengah hari tadi, amaran cuaca buruk di Kelantan melibatkan kawasan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh, dan Kuala Krai.

Di Terengganu membabitkan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, dan Marang.

Sementara itu, hujan berterusan peringkat waspada dijangka berlaku di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Kerian; Larut, Matang dan Selama; Hulu Perak dan Kuala Kangsar), dan Kelantan (Gua Musang) juga bermula hari ini hingga Selasa.

Keadaan sama turut berlaku di Terengganu membabitkan Dungun dan Kemaman; Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin), dan Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).

Amaran cuaca buruk dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60 milimeter dalam tempoh enam jam.

Sementara itu, cuaca waspada dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan hujan atau ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.