
Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis, berkata setakat ini punca kejadian masih belum diketahui dan dua anjing pengesan khas bagi mengenal pasti punca kebakaran akan digerakkan.
“Kita akan panggil pasukan K9 untuk mengesan jika adanya perbuatan khianat, accelerant (bahan yang mempercepat perebakan api) dan sebagainya bagi memastikan punca kebakaran.
“Apabila api padam sepenuhnya, barulah unit K9 bertindak untuk melakukan siasatan bagi mengenal pasti jika ada perbuatan khianat terhadap Wisma Jakel,” katanya dalam sidang media berhampiran lokasi kejadian.
Beliau berkata, laporan penuh insiden itu dijangka diketahui dalam tempoh sebulan.
Norazam berkata, Wisma Jakel setinggi lima tingkat itu didapati terbakar sepenuhnya dalam insiden dilaporkan berlaku kira-kira 7 pagi.
Katanya, bomba berjaya mengawal kebakaran pada peringkat awal namun api kemudian didapati merebak ke tempat simpanan dan stor barangan jualan.
“Keseluruhannya kita telah berjaya mengawal api pada 3 petang. Setakat ini, kita masih memadam kebakaran di bahagian stor yang tinggal lagi 10%. Dijangka satu atau dua jam lagi kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya,” katanya.
Norazam berkata, sejumlah 89 anggota serta pegawai dari enam balai bomba terlibat dalam operasi memadam kebakaran itu dan pihaknya menggunakan empat unit jentera Aerial Ladder Platform (ALP) termasuk dari Kuala Lumpur dan Melaka serta lima tangki air berkapasiti 20,000 liter.
Mengulas keadaan seorang anggota bomba bantuan yang cedera ketika proses memadam kebakaran itu, beliau berkata mangsa hanya mengalami kecederaan ringan selepas serpihan batu panas termasuk ke dalam bajunya dan dia dihantar ke hospital berhampiran untuk pemeriksaan lanjut.
Gedung tekstil terkemuka itu dilaporkan terbakar awal pagi tadi dan bomba menerima panggilan kecemasan mengenai insiden pada 7.08 pagi.