Bukan senang-senang nak jual arak, kata pegawai

Bukan senang-senang nak jual arak, kata pegawai

Beliau mengulas bantahan seorang Ahli Parlimen PAS terhadap penjualan minuman beralkohol secara terbuka di sebuah pusat beli-belah di Perai, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh Fawwaz Md Jan mendakwa pengunjung beragama Islam ke sebuah pusat beli-belah di Perai, Pulau Pinang, kurang selesa dengan penjualan arak secara terbuka sempena Tahun Baharu Cina. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Penjualan minuman bir secara terbuka di sebuah pusat beli-belah di Perai sempena sambutan Tahun Baharu Cina berkemungkinan besar mematuhi undang-undang, kata seorang pegawai negeri Pulau Pinang.

Mengulas bantahan seorang Ahli Parlimen PAS terhadap penjualan itu, pegawai berkenaan menegaskan penjualan alkohol kepada umum memerlukan lesen dikeluarkan jabatan pelesenan eksais negeri, yang bersidang tiga kali setahun untuk meneliti permohonan seumpama itu.

Lesen berkenaan sah untuk tempoh setahun dan melalui proses saringan teliti oleh pegawai penguatkuasaan termasuk polis, bagi menentukan kesesuaian lokasi jualan, kata pegawai berkenaan.

“Lembaga perlesenan eksais negeri meneliti ratusan permohonan pada setiap sesi. Ia pernah menolak penjualan minuman beralkohol di kawasan penduduk atau yang dilihat mengganggu orang lain.

“Ini dibuat selepas perbincangan dengan polis, jabatan kastam, serta pihak majlis perbandaran,” katanya kepada FMT.

Beliau menambah, walaupun tidak mempunyai maklumat terperinci dalam kes yang dibangkitkan Fawwaz itu, kawasan perniagaan seperti pusat beli-belah lazimnya mewajibkan permit eksais negeri dipamerkan sebelum penjualan alkohol dibenarkan.

Sementara itu, seorang pegawai kerajaan negeri berkata, isu berkaitan penjualan alkohol terletak dalam bidang kuasa lembaga pelesenan eksais negeri, manakala pengambilan minuman beralkohol di bawah jabatan pelesenan majlis perbandaran.

Semalam, Ahli Parlimen Permatang Pauh Fawwaz Md Jan dipetik berkata penjualan arak secara terbuka di pusat beli-belah itu menimbulkan rasa kurang selesa pengunjung beragama Islam.

Beliau mengemukakan surat bantahan dengan menyatakan penjualan minuman beralkohol sepatutnya hanya dibuat di kawasan tertutup hanya untuk golongan bukan Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.